Khatam Al-Quran sempena 30 tahun penubuhan UTB

Khatam Al-Quran sempena 30 tahun penubuhan UTB

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi menandakan tamatnya Program Khatam Al-Quran 30 kali bersempena dengan ulang tahun penubuhan UTB ke-30 tahun, yang berlangsung di Dewan Serba Guna, UTB.

Program tersebut disertai oleh seramai 1,683 orang peserta yang terdiri daripada 172 orang kakitangan akademik dan bukan akademik serta 1,466 orang mahasiswa dan mahasiswi UTB. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha sehingga SurahAn-Nas oleh para peserta yang diraikan diikuti dengan bacaan Takhtim dan Tahlil serta diakhiri dengan Doa Khatam dan Dikir Marhaban.

Majlis Khatam Al-Quran pada petang kelmarin di Dewan Serba guna, UTB.
Majlis Khatam Al-Quran pada petang kelmarin di Dewan Serba guna, UTB.

UTB ditubuhkan pada tahun 1986 sebagai Institut Teknologi Brunei (ITB), manakala itu, pada tahun 2008 dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam institut berkenaan dinaik taraf menjadi sebuah universiti.

Nama ditukar Institut Teknologi Brunei kepada Universiti Teknologi Brunei pada 1 Mac 2016 dan sehingga ke hari ini UTB telah pun melahirkan seramai 5,006 orang graduan diploma kebangsaan tinggi (HND), sarjana muda dan sarjana.