Khatam Al-Quran UBD

Khatam Al-Quran UBD

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Sempena Majlis Konvokesyen ke-28 yang akan berlangsung pada 15 Oktober ini nanti, Universiti Brunei Darussalam (UBD) petang tadi mengadakan majlis khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran bagi kesemua bakal graduan beragama Islam.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga telah memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama UBD, para ibu bapa dan pembimbing peserta khatam yang diraikan.

Majlis kemudiannya diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuhaa hingga Surah Al-Masad beramai-ramai sebelum disusuli dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.

Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada para pembimbing dan peserta khatam.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi yang juga telah memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi yang juga telah memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Majlis yang berlangsung di Masjid UBD diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Majlis Konvoksyen UBD ke-28 oleh imam Masjid UBD.

Bagi persediaan awal menjelang Majlis Konvokesyen, bacaan 30 Juz Al-Quran bagi majlis khatam Al-Quran tahun ini telah berlangsung sejak pertengahan Mei yang lalu.

Majlis khatam Al-Quran ini merupakan salah satu acara tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan para graduan UBD yang berjaya menamatkan pengajian mereka, di samping melaksanakan fardu ‘Ain bagi mahasiswa-mahasiswi yang beragama Islam.

Selain itu, ia juga sebagai salah satu inisiatif UBD bagi merealisasikan hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin negara ini membina generasi Al-Quran membawa maksud untuk melahirkan generasi yang ‘Celik Al-Quran’, sekali gus membentuk sebuah ‘Negara Zikir’.

Di samping itu, ia juga akan dapat melahirkan mahasiswa-mahasiswi UBD yang berketerampilan dan mendukung usaha UBD mencapai matlamat ‘ke arah kesempurnaan insan’.

ARTIKEL YANG SAMA