Khatam bekas penuntut STPRI

Khatam bekas penuntut STPRI

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Seramai 13 orang bekas penuntut Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) tahun 1976-1983 telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di kediaman SAC Azahari bin Haji Awang Besar, RPN Kampung Rimba, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dhuhaa sehingga Surah An-Nas oleh para peserta khatam.

Majlis diteruskan lagi dengan bacaan takhtim dan dikir, doa khatam dan diteruskan dengan doa selamat yang dibacakan oleh Ustazah Winarsih binti Turikin dari Indonesia.

Kemudian, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada wakil peserta khatam dan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis.

Datin Paduka Hajah Jahrah semasa memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.
Datin Paduka Hajah Jahrah semasa memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.
Pengiran Nur Akmar (tengah) semasa menyertai majlis khatam.
Pengiran Nur Akmar (tengah) semasa menyertai majlis khatam.

Pengerusi Majlis, Pengiran Nur Akmar binti Pengiran Haji Mohammad semasa ditemui pihak media menjelaskan, majlis ini bertujuan untuk mengumpulkan para peserta yang telah mengikuti kelas Al-Quran sepanjang enam bulan yang lalu untuk meraikan bacaan khatam mereka bersama-sama.

Beliau menjelaskan lagi, kelas Al-Quran tersebut telah dijalankan sejak 4 September 2015 lalu setiap pagi Jumaat dan Ahad dengan dipimpin oleh Ustazah Winarsih selaku pelatih kepada peserta-peserta khatam.

Majlis petang tadi itu juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan bekas penuntut STPRI tahun 1976-1983.

“InsyaAllah pada 4 September tahun ini, kami akan mengadakan lagi sebuah majlis khatam bagi memperingati ulang tahun pertama sejak kelas bacaan Al-Quran diadakan,” ujar Pengiran Nur Akmar.

ARTIKEL YANG SAMA