Khazanah labur dalam Skyscanner

Khazanah labur dalam Skyscanner

pg19_160113_a

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) – Khazanah Nasional Bhd menjadi antara lima pelabur baharu, yang secara keseluruhannya melabur AS$192 juta (RM824.35 juta), dalam Skyscanner yang berpangkalan di Edinburgh.

Empat rakan lain dalam syarikat enjin carian perjalanan itu, yang menyediakan carian bagi penerbangan, hotel, dan sewa kereta secara percuma di seluruh dunia, ialah Artemis, Baillie Gifford, Vitruvian Partners dan Yahoo!Japan, kata Skyscanner dalam satu kenyataan.

Rakan pelaburan sedia adanya ialah SEP dan Sequoia. Diasaskan pada 2003, Skyscanner menikmati kadar pertumbuhan dua angka sejak beberapa tahun dan mencatat keuntungan sejak 2009.

Skyscanner adalah enjin carian global yang membolehkan orang ramai membuat perbandingan harga bagi penerbangan, hotel dan sewa kereta.

Perkhidmatan adalah percuma kepada pengguna yang mana ia menyambungkan pelanggan kepada syarikat penerbangan, pengendali hotel, penyedia kereta sewa atau ejen pelancongan bagi melengkapkan proses tempahan.

Laman pelbagai bahasa itu menawarkan carian penerbangan dalam lebih 30 bahasa termasuk Mandarin, Rusia, Portugis, Sepanyol dan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif, Gareth Williams, berkata kejayaan Skyscanner disumbang hubungan langsung dengan 1,200 rakan niaga dan 50 juta pengembara yang menggunakan platform itu setiap bulan.

“Ia juga disebabkan teknologi kami dan dedikasi pasukan kami menawarkan pengalaman terbaik mungkin kepada pengembara,” katanya.

Beliau berkata, pusingan pembiayaan dan pengambilalihan pekerja baru-baru ini membolehkan syarikat memperkemaskan lagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Skyscanner tidak menjual tiket penerbangan secara langsung; sebaliknya laman web itu boleh digunakan untuk mencari harga termurah bagi sesuatu laluan yang mana pengguna akan secara automatik dipindahkan kepada laman web syarikat penerbangan atau ejen pelancongan untuk membuat tempahan secara langsung.