Khazanah lantik pentadbir untuk MAS

Khazanah lantik pentadbir untuk MAS

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) – Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham tunggal Malaysian Airline System Berhad (MAS), melantik Datuk Mohammad Faiz Azmi sebagai Pentadbir bagi syarikat penerbangan itu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan pentadbir berkenaan dijangka memudahkan pemindahan aset dan liabiliti terpilih daripada MAS kepada syarikat baharu, Malaysia Airlines Bhd (MAB), menjelang 1 September ini, demikian menurut Khazanah dalam satu kenyataan hari ini.

MAS akan terus beroperasi sehingga 31 Ogos, termasuk pada hari tersebut dan seterusnya MAB akan mengambil alih dan mengendalikan operasi syarikat penerbangan itu pada 1 September 2015, katanya.

Pelantikan itu dilaksanakan secara sukarela oleh Khazanah dan dibuat mengikut Akta Malaysian Airline System Bhd (Pentadbiran) 2015 (Akta MAS), yang telah diluluskan di Parlimen tahun lepas.

Akta MAS memperuntukkan kaedah yang berkesan, cekap dan lancar bagi peralihan perniagaan, harta, hak, liabiliti dan hal ehwal MAS kepada MAB.

Peralihan daripada MAS ke MAB merupakan antara 12 komponen penting di bawah Pelan Pemulihan MAS (PPM), yang telah diumumkan pada 29 Ogos, 2014, bagi menyediakan garis panduan penyusunan semula syarikat penerbangan itu bagi mengembalikannya ke landasan keberuntungan yang mampan.

PPM turut menyatakan pendanaan pelaburan bersyarat oleh Khazanah yang berjumlah sehingga RM6 bilion, yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dan tertakluk kepada syarikat penerbangan itu memenuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan.