Khedira wira Juventus

Khedira wira Juventus

MILAN, 28 Ogos – Sami Khedira meledak gol kemenangan pada separuh masa kedua untuk membantu Juventus meraih kemenangan kedua berturut-turut pada musim baru Serie A menerusi kemenangan 1-0 ke atas Lazio di laman lawan, semalam.

Juventus yang membuka kempen mempertahankan kejuaraan mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina minggu lalu berdepan cabaran sengit daripada skuad Simone Inzaghi itu yang menyaksikan mereka gagal memecah kebuntuan pada separuh masa kedua.

Namun seminit selepas rekod pembelian musim panas mereka, Gonzalo Higuain dimasukkan bagi menggantikan Mario Mandzukic, Khedira akhirnya meledak gol tunggal selepas menyudahkan hantaran Paulo Dybala.

Sami Khedira selepas menjaringkan gol semasa Perlawanan Serie A antara Lazio dan Juventus di Stadium Rome’s Olympic. – AP
Sami Khedira selepas menjaringkan gol semasa Perlawanan Serie A antara Lazio dan Juventus di Stadium Rome’s Olympic. – AP

Higuain yang masih berdepan masalah kecergasan terpaksa diletakkan di bangku simpanan buat dua minggu berturut-turut namun pengendalinya, Massimiliano Allegri menyatakan dia masih akan diturunkan pada setiap aksi yang diharungi.

Allegri yang melihat ketumpulan jentera serangannya membuat keputusan untuk membawa masuk Higuain ketika perlawanan berbaki 25 minit namun tidak seperti aksi minggu lalu apabila dia menjaringkan gol kemenangan pada aksi sulungnya bersama Juventus, tumpuan kali ini terarah kepada Khedira.

Pemain Jerman itu berjaya melepasi kawalan pemain Lazio untuk mengutip hantaran Dybala sebelum meledak menewaskan Federico Marchetti dengan satu rembatan deras ke penjuru gol. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA