KHEDN diperuntukkan lebih $140j

Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Sebanyak $148,695.655 telah diperuntukkan bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bagi Tahun Kewangan 2018/2019. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak $52,766,023 (40 peratus) adalah bagi kuasa-kuasa tempatan dan perbandaran bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan dan perpaduan rakyat serta memantapkan lagi peranan keberkesanan institusi penghulu mukim dan ketua kampung.

Ia juga digunakan untuk memajukan perbandaran dan meningkatkan prasarana yang kondusif bagi perniagaan.

Manakala itu, sebanyak $79,370,080 (60 peratus) adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang, pencegahan kebakaran, pengurusan bencana alam dan membantu memantapkan keupayaan sumber manusia.

Yang Berhormat Pehin membentangkan peruntukan kementeriannya itu semasa Majlis Mesyuarat Negara bersidang di Bangunan Dewan Majlis di ibu negara, petang tadi.

Menurut Yang Berhormat Pehin, selaras dengan dasar perbelanjaan berhemah dalam peruntukan kewangan dan perbelanjaan negara, adalah penting bagi kementerian berkenaan untuk memastikan segala perancangan dan strategi yang dilaksanakan menggunakan kaedah Program and Performance Budgetting (PPB) mengikut keperluan sebenar dan keutamaan yang berasaskan penunjuk utama prestasi (KPI) kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi mencapai peningkatan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat, pemantapan perpaduan dan kesejahteraan, pemeliharaan keselamatan masyarakat, memudah cara penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam serta memangkin perkembangan ekonomi.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar.

Dari itu, selaras dengan teras skop pelan strategik kementerian, Yang Berhormat Pehin berkata, beberapa program telah dan akan dijalankan pada Tahun Kewangan 2018 / 2019 bagi membantu mengukuhkan keselamatan, kesejahteraan, memangkin sosio-ekonomi dan meningkatkan perpaduan masyarakat yang kesemua ini dilaksanakan, bagi mencapai matlamat ‘Brunei Maju’.

Menyentuh mengenai dengan Rancangan Kemajuan Negara (RKN), beliau menjelaskan, pada tahun kewangan 2018/2019 ini, kementeriannya juga akan menerima peruntukan kewangan sebanyak $54 juta bagi melaksanakan projek-projek di bawah RKN ke-11 iaitu $5 juta bagi menaik taraf Pasar Gadong, $45 juta bagi revitalisasi Kampong Ayer dan $4 juta bagi menaik taraf Pasar Pantai Jerudong.

Menjelaskan lanjut mengenai rancangan revitalisasi Kampong Ayer, beliau berkata, dengan gabungan beberapa agensi kerajaan yang berkepentingan, sebanyak 157 buah rumah dirancang akan dibina, 47 buah dalam Fasa 1 dan 110 lagi dalam Fasa 2.

Tambahnya lagi, berdasarkan peruntukan yang telah pun dibentangkan, kementerian berkenaan akan terus berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kementerian sentiasa mencapai standard dan kualiti yang ditetapkan dalam memenuhi kehendak dan jangkaan rakyat dan penduduk negara ini.