KHEDN giat isi kekosongan penghulu, ketua kampung

KHEDN giat isi kekosongan penghulu, ketua kampung

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

 

pg01_160311_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Salah satu aspek pembaharuan yang diperkenalkan dalam Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung yang baru, adalah skim-skim perkhidmatan secara bertingkat dengan kenaikan-kenaikan pangkat tertentu mengikut syarat-syarat yang disediakan.

Sememangnya ada penghulu mukim dan ketua kampung diaturkan diberi peluang untuk memangku dan menjalankan tugas penghulu mukim atau ketua kampung dan ada dalam kalangan ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung yang diaturkan bagi tujuan ini.

“Oleh yang demikian persoalan ketiadaan penghulu dan ketua kampung untuk memberikan sebarang pengesahan atau endorsement yang diperlukan oleh anak-anak buah kampung seharusnya tidak timbul kerana mereka yang diberikan kebenaran untuk memangku tugas tersebut telah diberi kuasa untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab berkenaan.”

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menekankan perkara ini semasa menjawab persoalan mengenai jawatan penghulu mukim dan ketua kampung yang tidak dapat diisikan dan persoalan mengenai usia pemegang-pemegang jawatan yang sudah melepasi atau hampir kepada persaraan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Ja’afar dan beberapa ahli Majlis Mesyuarat Negara yang lainnya pada sesi permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara hari kelima, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, sejak skim itu diperkenalkan yang berkuat kuasa pada 1 April 2015, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui jabatan-jabatan daerah giat berusaha mengisi kekosongan jawatan penghulu mukim dan ketua kampung.

Menurutnya, pengiklanan kekosongan jawatan mengikut skim perkhidmatan yang baru itu telah dilaksanakan serentak bagi keempat-empat daerah pada 5 September 2015 dan ditutup pada 7 Oktober 2015 dengan tujuh jawatan penghulu mukim dan 34 jawatan ketua kampung telah diiklankan.

Pengisian kekosongan jawatan penghulu mukim dan ketua kampung, jelasnya, adalah berdasarkan kepada syarat-syarat lantikan dalam skim baru ini dan hasil penelitian setakat ini ada di antara calon-calon tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti kelayakan akademik, umur dan sebagainya.

Dalam pada itu, ada juga kes tiada pencalonan yang diterima bagi pengisian jawatan-jawatan berkenaan.

“Bagaimanapun adalah terlalu awal untuk membuat perubahan kepada skim yang baru ini kerana ia baru diperkenalkan oleh itu pihak kementerian akan mengambil berat dan memata-matai akan pengisian jawatan penghulu dan ketua kampung yang kosong agar tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran dan pengurusan mukim,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pihak bersama jabatan-jabatan daerah juga telah mengambil inisiatif melalui talent scouting bagi mengenal pasti penduduk mukim dan kampung sebagai calon-calon yang boleh dipertimbangkan bagi dicalonkan ke jawatan-jawatan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA