KHEDN kumpul data hartanah

KHEDN kumpul data hartanah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui jabatan-jabatan bandaran kini sedang melaksanakan kerja-kerja pengumpulan data hartanah bagi Pangkalan Data Inventori Hartanah (PID) dalam kawasan Lembaga Bandaran di seluruh negara sehingga 31 Mac 2017.

Pegawai Bandaran, Hajah Rasidah binti Haji Ghani selaku pengurus projek berkata, projek kemas kini pengumpulan data ke arah penyediaan pangkalan data ini telah bermula pada 1 Ogos 2016 dan merupakan salah satu usaha berterusan KHEDN dalam melaksana projek kerja pengumpulan data hartanah dalam kawasan Lembaga Bandaran di negara ini.

Menurut beliau, perlaksanaannya yang bermula sejak Oktober 2015 telah bermula di kawasan Lembaga Bandaran Tutong yang kemudian dilaratkan ke kawasan bandaran di ibu negara dan Bandaran Kuala Belait dan Seria sejak awal tahun 2016.

Beliau menjelaskan perkara ini semasa sidang media yang berlangsung di KHEDN, di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Hajah Rasidah seterusnya menjelaskan, projek ini melibatkan 156 orang pegawai kajian sementara dalam membantu melaksanakan projek di samping melantik 10 orang penyelia yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran bagi tujuan menyelia staf projek PID yang dilantik mengikut kumpulan yang ditetapkan.

Hajah Rasidah menyampaikan taklimat pada majlis itu.
Hajah Rasidah menyampaikan taklimat pada majlis itu.

“Notis individu yang mula diedarkan sejak 5 Ogos 2016 secara berperingkat-peringkat di kawasan yang dikenal pasti dalam kawasan lembaga bandaran untuk memaklumkan bila hartanah mereka akan dilawat periksa oleh staf projek PID.

“Lawat periksa ini telah bermula sejak 8 Ogos 2016 dan projek ini akan berterusan dilaksanakan sehingga 31 Mac 2017,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pemilik hartanah supaya memberikan kerjasama semasa lawat periksa dilaksanakan sementara bagi pemilik hartanah yang memelihara anjing di kawasan hartanah mereka supaya akan dapat mengikat atau mengurung anjing mereka bagi memudahkan kerja-kerja lawat periksa.

Semasa lawat periksa nanti, tambah beliau, staf projek PID akan memasuki, memeriksa dan mengukur mana-mana rumah, bangunan atau hartanah yang dilawati.

Beliau juga menegaskan, mengikut Akta Lembaga-Lembaga Bandaran, Penggal 57, Bab 20 (2), menjadi satu kesalahan kepada sesiapa yang sengaja membuat penyataan palsu atau tidak betul dan menyekat atau menghalang pengerusi atau mana-mana yang dilantik daripada memasuki, memeriksa atau mengukur rumah, bangunan atau hartanah, yang jika sabit kesalahan boleh didenda $3,000.

Kementerian juga memaklumkan orang ramai terutama pemilik hartanah atau penghuni hartanah yang terlibat bahawa pengumpul data yang dilantik boleh dikenal pasti dengan pakaian seragam dan kad pengenalan yang dikhususkan bagi projek ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek ini boleh menghubungi talian 2232225 (KHEDN), 2244151 (Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan), 3337081 (Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria) dan 4221232 (Jabatan Bandaran Tutong) pada waktu pejabat dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 1:30 petang hingga 4:30 petang.