KHEDN raikan Lebaran

KHEDN raikan Lebaran

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 29 Julai – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini tidak ketinggalan memeriahkan Syawal yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi, dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Serba guna Pusat Latihan Maraburong, Jabatan Penjara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai dan kakitangan di KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Pehin turut berucap ringkas pada majlis itu yang antaranya melahirkan kesyukuran dapat menyempurnakan ibadat puasa dan ibadat Sunat Syawal serta mengeratkan hubungan ukhuwah dan silaturahim dengan pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan bawahnya buat pertama kali sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (dua kiri) dan isteri berkunjung ke setiap pondok jamuan sambil be-ramah mesra dengan pegawai dan kakitangan bahagian-bahagian dan unit-unit di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (dua kiri) dan isteri berkunjung ke setiap pondok jamuan sambil be-ramah mesra dengan pegawai dan kakitangan bahagian-bahagian dan unit-unit di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Menurutnya, dalam merapatkan hubungan ukhuwah dan silaturahim tersebut, ia juga merupakan salah satu peranan dan usaha KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi meningkatkan lagi sikap perpaduan dan keharmonian sesama mereka terutama pada kampung-kampung dan mukim-mukim.

Majlis pada tahun ini dikelolakan oleh Jabatan Penjara dengan berkonsepkan “rumah terbuka” dengan menyediakan 13 buah pondok jamuan bagi setiap jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri termasuk kementerian itu sendiri.

Yang Berhormat Pehin kemudiannya berkunjung ke setiap pondok jamuan sambil beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan bahagian-bahagian dan unit-unit di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan Tausyeh dan Kebudayaan dari Jabatan Penjara.