KHEU fokus dua topik utama

KHEU fokus dua topik utama

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, telah mengadakan sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dengan mengetengahkan dua topik iaitu Strategi Meningkatkan Jemaah Masjid dan Memperkasa Institusi Keluarga.

Semasa berucap mempengerusikan sesi berkenaan yang berlangsung di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berkata, kedua-dua aspek yang difokuskan itu adalah sangat rapat hubungannya dengan orang ramai dan sangat berpengaruh dalam menentukan sejauh mana kukuhnya penghayatan beragama dalam kalangan masyarakat kita.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, kementeriannya menyedari akan cabaran-cabaran yang ada bagi memenuhi keperluan yang berjangkit misalnya pertambahan bilangan perumahan di kawasan-kawasan baru memerlukan pembinaan masjid baru dan bangunan sekolah ugama dengan segala keperluannya.

“Untuk itu, Insya Allah ikhtiar-ikhtiar bagi memenuhi keperluan itu akan sentiasa difikirkan, dirancang dan dilaksanakan.”

Menteri Hal Ehwal Ugama semasa hadir di sesi muzakarah pagi tadi.
Menteri Hal Ehwal Ugama semasa hadir di sesi muzakarah pagi tadi.

Bercakap mengenai dengan bidang dakwah pula, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa kementeriannya telah menyampaikan hasrat untuk bekerjasama dengan pihak Radio Televisyen Brunei bagi meningkatkan mutu-mutu program di TV, lebih-lebih lagi mengisi saluran RTB5 yang difahamkan memang dikhaskan sebagai saluran rancangan agama.

Sesi muzakarah itu bertujuan untuk memantapkan kualiti perkhidmatan KHEU di negara ini di samping bermuzakarah dan bertukar-tukar fikiran dalam meningkatkan syiar Islam.

Selain itu, ia juga merupakan sebagai wadah bagi ahli-ahli MMN dan KHEU untuk mengongsikan perkembangan aktiviti, dasar serta polisi kementerian yang terkini.

Turut hadir semasa sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Rombongan ahli MMN telah diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Pada sesi itu, taklimat mengenai Strategi Meningkatkan Jemaah Masjid telah disampaikan oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, manakala Pemangku Pengarah Hal Ehwal Syariah, Hajah Zakiah binti Haji Mohd Taib telah menyampaikan taklimat mengenai Memperkasa Institusi Keluarga.

Muzakarah kemudian diikuti dengan sesi dialog di antara ahli-ahli MMN dan KHEU.

ARTIKEL YANG SAMA