KHEU, takmir masjid anjur peraduan mewarna

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 11 Sept – Untuk memberikan kesedaran tentang kehidupan beragama yang sejati, Bahagian Perpustakaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar telah mengadakan Peraduan Mewarna bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah, baru-baru ini.

Peraduan bertema Syiar Islam yang juga diadakan bagi mengisikan masa lapang kanak-kanak sempena cuti penggal persekolahan itu, telah disertai seramai 36 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid kelas Al-Quran dan Muqaddam masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadat di daerah ini.

Johan dalam Kategori ‘A’ (enam hingga tujuh tahun) disandang oleh Awang Muhammad Fikri Khalil dari Masjid Kampung Belais manakala itu, Kategori B (lapan hingga sembilan tahun) dijuarai oleh Awang Rizki dari Surau Kampung Piasau-Piasau dan kategori C (10-12 tahun) dijuarai oleh Awang Muhd Darwisy Solihin bin Shamsudin dari Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar. Penyampaian hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Ghani selaku tetamu kehormat majlis.Turut hadir ialah pegawai-pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong dan kakitangan Bahagian Perpustakaan, KHEU.

Pemangku Ketua Bahagian Perpustakaan Hal Ehwal Masjid Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Awang Abdullah Fekree bin Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi acara menyatakan bahawa aktiviti berkenaan akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan jabatan dan akan dilaratkan ke daerah-daerah lain.

Gambar ramai peserta pertandingan mewarna dan tetamu kehormat serta ahli takmir masjid.
SAHAM
TerdahuluSultan Kedah mangkat
SeterusnyaJanji sampai syurga