KHEU terima kunjungan dari RISEAP

KHEU terima kunjungan dari RISEAP

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini, telah menerima kunjungan hormat rombongan dari Majlis Dakwah Islam Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, Berakas.

Rombongan yang diketuai Timbalan Presiden RISEAP, Haji Ridzuan Wu itu berada di Negara Brunei Darussalam dalam rangka mengukuhkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua buah negara dalam hal ehwal ugama Islam khususnya dalam bidang dakwah serantau yang meliputi Asia Tenggara dan Pasifik, di samping meninjau perkembangan mutakhir perjalanan dan perkembangan dakwah di rantau ini.

Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid, dan Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika bergambar ramai bersama ahli-ahli rombongan dari RISEAP.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika bergambar ramai bersama ahli-ahli rombongan dari RISEAP.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, RISEAP merupakan organisasi bukan kerajaan yang objektifnya antara lain adalah untuk mengukuhkan kerjasama dan hubungan erat antara organisasi Islam di rantau Asia Tenggara dan Pasifik.

Dalam usaha mengembangkan amalan Islam di negara-negara tersebut, RISEAP kini aktif memberi latihan kepada ahlinya dalam bidang pembangunan masjid dan surau, kutipan dan agihan zakat, pengurusan wakaf dan baitulmal, pensijilan halal, dakwah dan pendidikan Islam, pembinaan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan-Islam, serta peningkatan penggantian kepimpinan.

ARTIKEL YANG SAMA