KHEU zahirkan kesyukuran

KHEU zahirkan kesyukuran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T atas kurnia rezeki dan memeriahkan hari-hari kebesaran Islam dengan menganjurkan majlis ibadah korban dan sambutan Hari Raya Aidiladha di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU di Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Seramai 100 orang asnaf dan fakir miskin serta mualaf berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) menerima agihan daging korban daripada Yang Berhormat Pehin.

Agihan daging korban juga disampaikan kepada para pegawai KHEU oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. Turut menyampaikan agihan daging korban ialah isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar.

Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyempurnakan pengagihan daging korban.
Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyempurnakan pengagihan daging korban.

Pengagihan juga disampaikan oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan isteri, Datin Hajah Nurliyana binti Haji Muhd Aarif Lim.

Majlis petang tadi diserikan dengan gema takbir Hari Raya Aidiladha beramai-ramai dipimpin oleh pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Syariah, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan KHEU.

Ibadah korban ini dihasratkan dapat mengukuhkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan KHEU.

Majlis anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Syariah, Pusat Dakwah Islamah dan Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan pada tahun ini mengorbankan tujuh ekor sapi, dua ekor kerbau dan empat ekor kambing.

ARTIKEL YANG SAMA