Khidmat bakti sukarelawan Yayasan dihargai

Khidmat bakti sukarelawan Yayasan dihargai

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Usaha dan khidmat bakti yang disumbangkan oleh sukarelawan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini tidak diabaikan dan dihargai dengan pengurniaan Sijil Penghargaan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini.

Penganugerahan sijil penghargaan itu diberikan kepada enam sukarelawan Yayasan yang bergiat aktif dalam melaksanakan projek amal yang diungkayahkan oleh Yayasan dan sembilan kepada NGO yang memeduli kebajikan golongan OKU.

Salah seorang penerima sijil penghargaan bagi sukarelawan, Awang Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, 55, ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur menerima anugerah sijil tersebut.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Unit Kaunseling di Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan berkata, anugerah itu memberikannya satu semangat dan satu suntikan bahawa apa pun perjuangan yang kita lakukan, kita tidaklah mengharap apa-apa balasan, yang penting ialah setiap ilmu dan kemahiran yang kita ada haruslah kongsikannya dengan mereka yang memerlukan.

Beliau telah mula berkhidmat sebagai salah seorang Ahli Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak 10 tahun yang lalu pada 11 Januari 2005.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan anugerah Sijil Penghargaan kepada sukarelawan Yayasan sebagai menghargai segala usaha dan khidmat bakti yang telah mereka sumbangkan.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan anugerah Sijil Penghargaan kepada sukarelawan Yayasan sebagai menghargai segala usaha dan khidmat bakti yang telah mereka sumbangkan.

pg03_150806_b

pg03_150806_c

Beliau juga banyak menyumbang khidmat dan buah fikiran ke atas pelaksanaan projek-projek bantuan kebajikan YSHHB, khususnya Projek Intervensi Pendidikan, Projek Bantuan Untuk Meningkatkan Sosioekonomi Ke Arah Membasmi Kemiskinan dan beberapa projek Amal lainnya.

“InsyAllah, saya akan memperluaskan lagi ilmu-ilmu kaunseling di Negara Brunei Darussalam ini di mana saya percaya bahawa ilmu kaunseling ini sangat diperlukan terutama sekali kepada ibu bapa, anak-anak, pelajar-pelajar dan orang yang bertugas di mana-mana.”

Awang Ali Yusri turut menyeru kepada generasi belia pada masa ini agar tidak berhenti menyahut cabaran dalam mengambil pengalaman yang luas dan ilmu itu harus diperkembangluaskan kepada orang-orang yang memerlukan.

Seorang lagi penerima sijil penghargaan sukarelawan, Kapten (Bersara) Haji Mohd Aisa bin Haji Subohi, 59, pula, berkata, beliau merasa bangga dan bersyukur ke hadrat Allah kerana terpilih daripada ahli-ahli sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang lain. Beliau sudah mula melibatkan diri di dalam aktiviti sukarelawan Yayasan sejak tahun 2005.

Bercakap mengenai pengalaman pula, beliau juga telah pernah dipanggil untuk berkhidmat sebagai sukarelawan Yayasan di Aceh dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan semasa berlakunya kejadian tsunami di hujung tahun 2005.

“Selain itu, saya juga berkecimpung di dalam kerja-kerja amal dan memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan seperti orang-orang tua, orang-orang kurang upaya (OKU) dan banyak lagi.”

Kapten (Bersara) Haji Mohd Aisa juga aktif memimpin pasukan kaji selidik untuk mendapatkan maklumat penduduk kampung di Kawasan Bolkiah A dan Bolkiah B pada tahun 2006.

Manakala penerima sijil penghargaan bagi NGO, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin dari Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP), menjelaskan bahawa pemberian anugerah ini sememangnya tidak disangka-sangka.

Awang Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
Awang Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin.
Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin.
Kapt (B) Haji Mohd Aisa bin Haji Subohi.
Kapt (B) Haji Mohd Aisa bin Haji Subohi.

Beliau juga melahirkan rasa gembira dan bersyukur setelah menerima anugerah penghargaan ini daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurut beliau, Persatuan OKP telah ditubuhkan secara rasmi pada 13 Jun 2010 dan pada masa ini persatuan OKP telah mempunyai keramaian ahli sebanyak 155 orang.

“Persatuan ini semakin berkembang dari tahun ke tahun dan antara kegiatan yang kami adakan ialah Bengkel Bahasa Isyarat. Persatuan ini ditubuhkan semata-mata untuk memeduli orang-orang yang kurang pendengaran dari segi kebajikan, kerjaya dan pendidikan mereka.

“Alhamdulillah, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, terutama sekali beberapa buah kementerian dan jabatan telah mengambil ahli-ahli OKP ini untuk bekerja bersama mereka seperti di Jabatan Pengangkutan Darat, Tabung Amanah Pekerja dan beberapa bank serta syarikat-syarikat yang lain.”

Beliau juga berharap agar Unit Pendidikan Khas (UPK) di bawah Kementerian Pendidikan akan dapat mengajar dan memberikan pendidikan yang sebaik-baiknya kepada ahli-ahli OKP dan juga orang-orang yang mempunyai masalah penglihatan serta kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Sementara Yang Dipertua SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Malai Othman pula menjelaskan, seramai 97 buah keluarga dan 103 orang pelajar dicatat yang berdaftar dengan SMARTER Brunei sehingga sekarang.

Persatuan ini adalah pengurusan austisme dalam latihan, pendidikan dan sumber Negara Brunei Darussalam dan ia telah ditubuhkan secara rasmi pada 9 September 2001 dibawah kepimpinan beliau sendiri.

Beliau berharap agar SMARTER Brunei akan diperkembangkan lagi lebih maju dari segi pembangunan dan kewangan di masa hadapan dengan mendapat sokongan dan dorongan yang diperlukan daripada orang ramai.

Persatuan SMARTER Brunei juga bekerjasama dengan pakar-pakar bagi membantu meningkatkan perkembangan kanak-kanak autistik dengan kaedah profesional seperti Jurupulih Cara Kerja, Jurupulih Pertuturan, Jurupulih Fizikal, Jurupulih Psikologi dan Guru Pendidikan Khas.

ARTIKEL YANG SAMA