Khidmat guaman diperluaskan

Khidmat guaman diperluaskan

Oleh Sim Y. H. dan Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Pertubuhan Undang-undang Negara Brunei Darussalam hari ini mencadangkan penubuhan sebuah Tabung Bantuan Guaman (Legal Aid Fund) untuk membolehkan pelaksanaan penuh program bantuan guaman dalam jangka panjang.

Presidennya, Awang Mohamad Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman berkata, pihaknya bersedia memberikan komitmennya dalam menghulurkan bantuan dalam menubuhkan Tabung Bantuan Guaman bagi Negara Brunei Darussalam.

Berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2016 yang berlangsung di Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan, hari ini, beliau berkata, pada masa ini bantuan guaman hanya diberikan kepada kes-kes jenayah di mana hukuman mati ditetapkan.

Selama ini Pertubuhan Undang-undang Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan klinik bantuan guaman iaitu penyelesaian jangka pendek bagi mereka yang memerlukan nasihat guaman.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi menyampaikan ucapan.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi menyampaikan ucapan.

pg10_160205_c

Antara para hadirin yang menghadiri majlis berkenaan.
Antara para hadirin yang menghadiri majlis berkenaan.

Katanya, terdapat kes-kes di mana perwakilan undang-undang dalam mahkamah diperlukan. Oleh itu, satu kaedah cuba dikendalikan oleh Persatuan Undang-undang bagi membolehkan mereka yang memerlukan nasihat dan perwakilan, mendapatkan bantuan yang diperlukan itu.

Dalam hubungan itu, beliau mengalu-alukan ahli-ahlinya untuk memberikan nasihat guaman dan perwakilan secara kes ke kes sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

Namun begitu, beliau berkata ia cuma satu penyelesaian jangka pendek dan bagi jangka panjang mencadangkan bagi penubuhan sebuah Tabung Bantuan Guaman.

Dalam ucapannya itu juga, Awang Mohamad Rozaiman menyentuh beberapa perkara termasuk akses kepada keadilan di mana beliau menyatakan bahawa Kanun Tatacara Jenayah (CPC) mengehendaki bagi penahanan orang yang tertuduh selama 48 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan atau didakwa.

Beliau menerangkan bahawa semasa tempoh penahanan itu, terdapat waktu di mana tertuduh memerlukan dan mendapatkan nasihat peguam. Pada masa ini, tidak ada sebarang peruntukan dalam CPC yang membolehkan tertuduh untuk mendapat hak untuk peguam semasa penahanan.

“Ia adalah penting dan amat mustahak bagi seseorang tertuduh itu di peringkat ini untuk mengetahui dan memahami mengapa dia sedang disiasat dan apa hak yang diberikan kepadanya.”

Beliau menekankan bahawa jika kita percaya dengan prinsip kedaulatan undang-undang, akses seseorang kepada keadilan hendaklah bebas tanpa sebarang halangan dan rintangan.

Awang Mohamad Rozaiman juga menyentuh mengenai insiden malang pada 2015 di mana terdapat dua kes di mana orang dalam tahanan Pasukan Polis Diraja Brunei dipercayai telah membunuh diri semasa ditahan atau direman di dalam penjara polis.

Beliau berkata jika Kanun Tatacara Jenayah mengandungi peruntukan yang membolehkan orang tertuduh mendapatkan akses segera atau hak untuk peguam, kemungkinan kejadian malang itu tidak akan berlaku.

Pertubuhan Undang-undang juga berpendapat bahawa untuk menghapuskan sebarang tuduhan berat sebelah, sebuah siasatan bebas oleh sebuah badan bebas harus dikendalikan untuk mengenal pasti sebarang kegagalan dalam prosedur dan untuk menentukan punca kematian sebenar.

“Ia bukannya dalam kepentingan keadilan atau kepentingan semua mangsa jika keadilan itu tidak dapat dilaksanakan,” kata Awang Mohamad Rozaiman lagi.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Peguam Negara mempertimbangkan pindaan kepada CPC atau menyediakan arahan amalan kepada pegawai-pegawai penguatkuasaan untuk membolehkan orang yang tertuduh untuk mendapatkan akses kepada peguam bagi nasihat guaman dan perwakilan.

Mengenai usaha menarik kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini, Awang Mohamad Rozaiman berkata, Pertubuhan Undang-undang Brunei Darussalam komited dan menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini serta bersedia untuk menyediakan nasihat guaman serta cadangan bagi sebarang pelaksanaan rancangan pelaburan langsung asing.

Katanya, pada masa ini terdapat undang-undang yang mencukupi untuk menarik FDI, namun proses penilaian mikro harus dilaksanakan untuk meningkatkan lagi prosedur dan peraturan negara bagi memberikan keyakinan kepada pelabur langsung asing untuk melabur sumber-sumber mereka di Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA