Khidmat katering dapat sambutan

Khidmat katering dapat sambutan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Meskipun bulan Ramadan sudah berlalu, namun kesibukan para peniaga tempatan yang menawarkan perkhidmatan katering masih lagi berterusan bagi memenuhi keperluan para pelanggan yang mengadakan majlis rumah terbuka semasa dalam bulan Syawal ini.

Salah seorang pengusaha perkhidmatan katering yang ditemui, Haji Qadir bin Mustafa memberitahu bahawa perniagaannya telah mula menerima tempahan katering seawal bermulanya bulan Ramadan sehingga sekarang.

Menurut beliau lagi, yang beliau telah berkecimpung dalam perniagaan perkhidmatan katering sejak 15 tahun lalu, rata-rata pelanggan inginkan perkhidmatan katering bagi majlis rumah terbuka di bulan Syawal dan majlis keagamaan bagi bulan Ramadan.

Beliau bersama isteri, Hajah Rapiah, sehingga hari ini masih sibuk menguruskan tempahan-tempahan mereka dan menjelaskan bahawa musim perayaan merupakan bulan yang memberikan mereka pendapatan tertinggi berbanding pada bulan-bulan lainnya.

Pelbagai hidangan menarik yang ditawarkan oleh perkhidmatan katering di negara ini.
Pelbagai hidangan menarik yang ditawarkan oleh perkhidmatan katering di negara ini.

p08-2_20160712

Haji Qadir juga menerima tempahan pada saat-saat terakhir jika mereka masih mampu untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

Manakala itu, jurucakap Royal Brunei Catering (RBC), Dayang Fakhriah, semasa ditemui pula menyatakan bahawa RBC turut menawarkan perkhidmatan katering dan telah mula menerima tempahan yang awal bagi persediaan rumah-rumah terbuka.

Katanya, pada hari pertama Aidilfitri, pihak RBC telah menyediakan perkhidmatan katering kepada 13 buah rumah, manakala pada hari raya kedua pula 15 buah rumah dan 10 buah rumah pada hari ketiga.

Pada masa yang sama, tambah beliau lagi, RBC turut menawarkan pelbagai tawaran dan hidangan yang menarik di restoran-restoran RBC seperti di Restoran Anjung Saujana bagi promosi Rumah Terbuka Anjung Saujana yang bermula pada hari ini sehingga 6 Ogos nanti dan promosi Restoran Seasons Hari Raya Hi-Tea yang boleh didapati pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, bermula pada 14 sehingga 30 Julai ini.

Manakala itu, promosi bagi Pakej Perkumpulan Hari Raya di Restoran Dynasty pula telah bermula sejak hari pertama Aidilfitri sehingga hujung bulan Julai.

ARTIKEL YANG SAMA