Khidmat lebih berkesan

Khidmat lebih berkesan

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN 24 Mei – Jabatan Kecemasan Hospital RIPAS kini mampu memberikan perkhidmatan lebih berkesan, cekap dan selesa apabila ia dibuka rasmi hari ini selepas kerja-kerja menaiktarafkan selesai dijalankan.

Hadir melancarkan pembukaan rasmi Jabatan Kecemasan itu ialah Menteri Kesihatan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Selepas pelancarannya, Yang Berhormat Pehin turut meninjau kelengkapan dan peralatan perubatan yang disediakan di ruang Troli (Prioriti 2, Bilik Resusitasi Pediatrik, ruang Pemerhatian Pediatrik, Bilik Konsultasi, Bilik ECG dan Stabilisasi, Bilik Pegawai Perubatan Kanan dan Bilik Triaj.

Mengiringi Yang Berhormat Pehin semasa lawatan ialah Penolong Ketua Jabatan Kecemasan, Dr Norazlina Suryani binti Haji Abdul Rahman dan pegawai-pegawai Jabatan Kecemasan.

Yang Berhormat Pehin ketika ditemu bual Media Permata, mengatakan pengubahsuaian itu bakal memastikan keselesaan kepada orang ramai, memandangkan lebih banyak ruang bagi kes-kes tertentu.

Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan Jabatan Kecemasan Hospital RIPAS selepas kerja-kerja menaiktarafkan dijalankan.
Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan Jabatan Kecemasan Hospital RIPAS selepas kerja-kerja menaiktarafkan dijalankan.

Menurutnya lagi, masa bagi rawatan pesakit juga boleh dikurangkan berdasarkan rawatan yang diperlukan terutamanya bagi Prioriti 1 dan Prioriti 2 serta Prioriti 3.

Manakala pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin menekankan jabatan itu akan lebih menumpukan ke atas kes-kes kecemasan dan trauma. Bagi pesakit Prioriti 3, mereka digalakkan untuk pergi ke pusat kesihatan berdekatan untuk tujuan rawatan.

Projek pengubahsuaian, menaiktarafkan dan penambahbaikan Jabatan Kecemasan itu dilaksanakan sebagai salah satu usaha dalam memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi, cekap dan berkesan.

Ia merangkumi Kaunter Pendaftaran dan Pembayaran baru bagi memudahkan pesakit dan orang awam berurusan, Bilik ‘Triage dan Bilik ‘Nebuliser’ yang baru bagi keselesaan pengguna dan pesakit.

Ia juga termasuklah bilik Konsultasi Doktor Pakar untuk pemeriksaan dan perjumpaan dengan pesakit; bilik pemeriksaan ‘ECG’ dan rawatan stabilisasi untuk pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera dan bilik Resusitasi khusus untuk pesakit kanak-kanak.

Terdapat juga bilik Konsultasi untuk perjumpaan doktor bagi kes-kes sakit ringan atau ‘Prioriti 3’ dan ruang troli yang baru untuk pesakit yang dikategorikan sebagai separa-segera atau ‘Prioriti 2.

Ruang troli yang baru ini boleh menampung sebanyak 24 troli termasuk bilik pengasingan dan bilik ‘seclusion’ sendiri. Sebelum ini, ruang ini hanya mampu menampung 14 troli.

Ruang-ruang ini merupakan fasa pertama daripada beberapa fasa menaiktarafkan jabatan tersebut yang dibuat secara berperingkat. Bahagian yang akan dinaiktarafkan seterusnya ialah Prioriti 1 atau resusitasi, step-down area bagi kes resusitasi yang stabil, kemudahan Unit Pengasingan baru, perkhidmatan rawatan sakit ringan atau Prioriti 3 dan juga kemudahan rawatan ‘Minor Trauma’.

Segala urusan pemindahan telah dirancang lebih awal bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit-pesakit berjalan secara berterusan dan lancar serta tidak terjejas disebabkan oleh kerja-kerja menaiktarafkan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA