Khidmat pergigian tanpa lesen didengar 11 Mei

Khidmat pergigian tanpa lesen didengar 11 Mei

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160510_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Mahkamah Majistret di sini menolak permohonan seorang wanita penduduk tetap untuk menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah terhadap pertuduhan menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa lesen.

Hayimmah Bahri, 29, pada 24 April lalu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang mana dia melakukan kesalahan itu di kediamannya di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku, pada 2012 hingga April 2014.

Dia didakwa menawarkan perkhidmatan pendakap gigi dan nasihat kepada pelanggannya yang diperolehnya dari media sosial Facebook.

Bagaimanapun, pada 2 Mei lalu, Peguam Belanya, Ahmad Basuni Abas membuat permohonan untuk menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas alasan anak guamnya tidak berpendidikan tinggi dan keliru dengan pertuduhan yang dibacakan.

Dalam prosiding hari ini, Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menolak permohonan pengakuan itu dengan mengatakan tertuduh memahami 22 pertuduhan yang dibacakan ketika ditanya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang reaksi kekeliruan terhadap pertuduhan dan fakta kes, katanya.

Peguam Bela Ahmad Basuni Abas ketika mengemukakan rayuan bagi pihak anak guamnya berkata, Hayimmah Bahri telah disoal siasat pada 2014, dan hanya didakwa pada tahun ini tanpa sebab diberikan bagi kelewatan dalam pendakwaannya. Selepas serbuan yang dijalankan pada 2014, anak guamnya tidak lagi melibatkan diri dalam bidang ini dan tidak melakukan kesalahan seterusnya.

Tidak ada keterangan dihadapkan ke mahkamah mengenai pelanggan kliennya yang menderita melalui perkhidmatan yang dijalankannya dan jumlah yang terlibat, kata Ahmad Basuni sambil menambah perkara itu hanya timbul kerana laporan yang dibuat oleh salah seorang ahli Lembaga Perubatan Brunei kepada pihak polis selepas mendapati sejumlah pesakit datang ke klinik gigi kerajaan untuk mendapatkan rawatan pada pendakap yang dipasang oleh anak guamnya, kata Peguam Bela Ahmad Basuni.

Tambah Ahmad Basuni, perkhidmatan yang ditawarkan kliennya bukannya dilakukan secara rahsia sebaliknya menerusi pengiklanan di Facebook untuk membolehkan orang ramai melihat dan menghubunginya.

Kliennya juga memberitahu pelanggannya bahawa dia bukanlah seorang doktor gigi yang berlesen namun pelanggannya masih juga meneruskan niat mereka untuk mendapatkan perkhidmatannya, ujar Ahmad Basuni.

Ahmad Basuni turut mempertikaikan kenapa anak guamnya tidak dihadapkan ke mahkamah sejurus selepas kediamannya diserbu oleh polis jika kesalahannya dianggap serius.

Majistret Azrimah menetapkan 11 Mei untuk sebutan hukuman.