Khidmat perkahwinan di bawah satu bumbung

Khidmat perkahwinan di bawah satu bumbung

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Dengan tema ‘Wedding By The Bay’, pameran perkahwinan yang akan berlangsung di Kompleks Membeli-Belah The Mall, Gadong pada 28 Oktober hingga 1 November akan mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan dengan konsep dan inspirasi yang berbeza daripada peserta-peserta tempatan dan antarabangsa di bawah satu bumbung.

Pameran yang dikendalikan oleh Solution By Designz itu akan menampilkan setiap keperluan perkahwinan daripada perancangan kepada bantuan khidmat profesional, sama ada bagi majlis besar-besaran atau majlis kecil namun indah, mengikuti kesukaan masing-masing. Selain daripada itu, menurut kenyataan penganjur, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah hebat dengan menghasilkan cerita bergambar, mengongsi kisah cinta mereka menerusi sembilan keping gambar.

Pasangan yang menang akan membawa pulang pakej resepsi perkahwinan termasuk jurugambar, dekorasi tempat perkahwinan, mekap dan dandanan rambut bagi pengantin perempuan, perancang perkahwinan dan sebagainya.

Di samping itu, hadiah berupa pakej berbulan madu ke Bali, Indonesia turut ditawarkan bagi pasangan bertuah.

Menurut kenyataan itu lagi, ‘Pertandingan Pengantin Perempuan Paling Fotogenik’ yang bermula dua bulan lalu, telah memilih lima orang peserta, iaitu Dayang Nur Sheila Rose, Hilary Hu, Hsien Wei, Amy Ho dan Dayang Marianne binti Maraja untuk mara ke peringkat akhir bagi undian orang ramai semasa pameran itu.

Di pondok gambar, aktiviti ‘Copy & Paste’ akan diadakan, di mana 50 pasangan pertama setiap hari yang mendaftar di kaunter maklumat akan mendapat satu gambar segera secara percuma. Dengan gambar yang dicetak itu (tidak terhad kepada 50 pasangan berkenaan), mereka boleh menyertai peraduan Instagram dan berpeluang memenangi baju T pasangan edisi terhad.

Semua pengunjung boleh mengundi bagi ‘Pertandingan Pengantin Perempuan Paling Fotogenik’ dan Perkahwinan Tahunan untuk memenangi baucar-baucar percuma daripada peserta pameran berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA