Khidmat pos luar bandar Sarawak diperluas

Khidmat pos luar bandar Sarawak diperluas

MIRI, 18 April (Bernama) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memperluas projek ‘Address For All (AFA)’ di Sarawak dengan mengenal pasti 1,000 kampung di kawasan luar bandar untuk tujuan itu.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Jailani Johari berkata langkah itu diambil berikutan kejayaan projek perintis AFA yang dilaksanakan Pos Malaysia Berhad di Lundu, Kuching melibatkan 6,000 rumah.

“Fokus utama kami bagi projek AFA ialah penduduk kampung di luar bandar dan kawasan berselerak yang tidak mempunyai alamat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat projek telekomunikasi di Miri dan Sibuti dengan wakil daripada pelbagai masyarakat di sini, hari ini.

Di bawah projek itu, katanya Pos Malaysia Sdn Bhd dan Pejabat Residen di setiap bandar dan daerah utama di Sarawak akan mengenal pasti kawasan tanpa alamat lengkap.

“Lazimnya, penerima terpaksa mendapatkan surat mereka di kedai berhampiran atau balai raya, tetapi ini agak menyulitkan bagi mereka yang tinggal jauh dari tempat itu,” katanya.

Jailani berkata apabila dilaksanakan kelak, AFA akan mewujudkan perkhidmatan pos yang lebih cekap di luar bandar terutamanya bagi mereka yang menunggu surat tawaran daripada institusi pendidikan atau perkhidmatan penghantaran bungkusan. Untuk rekod, projek AFA dilaksanakan mulai 2015 bagi memastikan semua premis mempunyai alamat lengkap menjelang 2020.

Mengenai projek telekomunikasi di Sarawak, Jailani berkata dari 2008 hingga tahun ini, sebanyak RM1.8 bilion dibelanjakan untuk merapatkan jurang digital di luar bandar.

“Ia merupakan kejayaan membanggakan apabila pada masa ini, sebanyak 78.3 peratus daripada kawasan di Sarawak mempunyai liputan jalur lebar berbanding hanya 13.6 peratus pada 2008.

“Dalam tempoh sama, sejumlah RM130.2 juta dibelanjakan bagi projek dan program telekomunikasi di Miri,” katanya.