Khidmat Tevez ditagih semula

Khidmat Tevez ditagih semula

LA SERENA, Chile, 12 Jun (AFP) – Carlos Tevez yang dikehendaki lagi oleh Argentina dan kelab ternama Eropah selepas empat tahun dipinggirkan di mana beliau hampir berputus asa dengan kerjaya bola sepak.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang dikenali sebagai ‘Apache’ sempena daerah setinggan Buenos Aires di mana beliau dibesarkan, kembali ke dalam pasukan kebangsaan selepas menyumbat 20 gol semusim untuk Juventus sehingga memaksa Barcelona berhempas pulas pada final Liga Juara-Juara.

Tevez melangkah ke dalam Copa America selepas dilaporkan menuntut perpindahan daripada pasukan Itali. Perbincangan telah diadakan dengan Atletico Madrid manakala media Britain berkata Liverpool juga berminat.

Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri yang sanggup meletak jawatan jika kehilangan penyerang Argentina itu berkata, Tevez mempunyai musim yang luar biasa.

“Beliau mempunyai permainan dalam darahnya,” menurut jurulatih Atletico Diego Simeone. Tevez juga mempunyai pasang surut dalam kerjayanya.

Carlos Tevez (kiri) menyaksikan rakan sepasukan Erik Lamela memanaskan badan sebelum menjalani latihan di La Serena, Chile 9 Jun lalu. - Reuters
Carlos Tevez (kiri) menyaksikan rakan sepasukan Erik Lamela memanaskan badan sebelum menjalani latihan di La Serena, Chile 9 Jun lalu. – Reuters

Kecemerlangan Tevez tidak pernah diragui sejak berpindah dari Boca Juniors di Buenos Aires ke Corinthians di Brazil dan kemudian pada 2006 menyertai West Ham, Manchester United dan pada 2009 bersama Manchester City dengan bayaran perpindahan 40 juta pound (AS$60 juta).

Masalahnya bermula pada 2011 apabila beliau didakwa enggan turun sebagai pemain gantian untuk Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich.

Selepas lima bulan dipinggirkan dan denda yang sangat berat, Tevez kembali ke dalam pasukan utama, tetapi kembali bermasalah selepas memberitahu televisyen Argentina bahawa jurulatih Roberto Mancini memperlakukannya seperti anjing.

Tevez juga dikecualikan daripada tugasan kebangsaan selama tiga tahun – termasuk Piala Dunia 2014 – selepas Alejandro Sabella mengambil alih sebagai jurulatih Argentina pada 2011 dengan Sergio Aguero telah dipilih sebagai gandingan Lionel Messi.