Khir dihukum penjara 12 bulan

Khir dihukum penjara 12 bulan

PUTRAJAYA, 29 Sept (Bernama) – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata hukuman penjara sesuai dengan kes itu.

Dr Mohamad Khir dihantar ke penjara Kajang.

Pada 22 Sept, panel itu menolak rayuan akhir Dr Mohamad Khir dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Dis 2004. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Dr Mohamad Khir, yang merupakan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Mahkamah penuh sesak dengan anggota keluarga, orang ramai dan wakil media. Isteri beliau Zahrah, 50, turut hadir.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Tan Sri Hasan Lah, Hakim Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Hakim Datuk Ramly Ali.

Dr Mohamad Khir, bapa enam anak, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada 2007.

ARTIKEL YANG SAMA