Khmer Rouge berjuang untuk ‘keadilan sosial’

Khmer Rouge berjuang untuk ‘keadilan sosial’

PHNOM PENH, 19 Feb (AFP) – Salah seorang pemimpin tertinggi Khmer Rouge yang masih hidup Rabu lalu mencabar hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atasnya bagi jenayah ke atas kemanusiaan dan berkata dia hanya berjuang bagi ‘keadilan sosial’ di Kambodia, dalam ulasan luar biasa yang dibuat kepada mahkamah yang disokong oleh PBB.

Bekas ketua negeri rejim kejam itu, Khieu Samphan, 84 tahun bersuara kepada dewan perundangan di Phnom Penh yang akan menentukan sama ada untuk menerima rayuan berhubung keputusan bersalah yang dijatuhkan ke atasnya dan seorang lagi ketua kanan, Nuon Chea, 89 tahun.

Mereka disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah ke atas kemanusiaan pada tahun 2014 bagi peranan penting mereka dalam kerajaan komunis yang mengawasi kematian sehingga dua juta rakyat Kambodia dari tahun 1975 -1979, hampir satu suku penduduk.

“Apa yang saya mahu katakan hari ini dan apa yang saya mahu orang senegara saya mendengarkan bahawa sebagai seorang intelek saya tidak pernah mahukan apa-apa melainkan keadilan sosial untuk negara saya,” Khieu Samphan memberitahu tujuh hakim mahkamah pada hari terakhir perbicaraan rayuan.

Nuon Chea, dikenali sebagai ‘Brother Number Two’ kepada ketua pemimpin Pol Pot, tidak mengamalkan haknya untuk membuat kenyataan. Khieu Samphan dan Nuon Chea adalah ketua pertama tertinggi yang dipenjarakan dari rejim Khmer Rouge, yang tanpa belas kasihan menghapuskan masyarakat moden Kambodia dalam memburu utopia Marxsit agraria.

Tetapi peguam mereka segera merayu perintah itu, dengan menuduh mahkamah dengan beberapa kesalahan dan hakim-hakim gagal terus adil disebabkan pengalaman peribadi mereka di bawah rejim itu.

Kedua-dua mereka juga pada masa ini berdepan perbicaraan kedua atas dakwaan genosid bagi pembunuhan etnik Vietnam dan minoriti Islam dan juga bagi kegunaan perkahwinan paksa dan rogol rejim mereka. Kira-kira 100,000 hingga 500,000 orang Islam Cham dan 20,000 orang Vietnam dibunuh ketika pemerintahan Khmer Rouge yang singkat tetapi kejam.

Kebanyakan ketua-ketua utama Khmer Rouge telah meninggal dunia tanpa berdepan pengadilan, termasuklah ‘Brother Number One‘ Pol Pot yang meninggal dunia pada 1998.

ARTIKEL YANG SAMA