Khoo Chai Lin tekad pertahan pingat emas Sukan SEA

Khoo Chai Lin tekad pertahan pingat emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) – Atlet renang negara, Khoo Chai Lin tekad untuk mempertahankan pingat emasnya untuk negara pada temasya Sukan SEA di Singapura, yang bermula minggu hadapan.

Perenang senior yang kini sudah berusia 27 tahun itu akan terus diletakkan harapan sebagai penyumbang utama pingat untuk negara.

Walaupun sudah cukup bersedia untuk menggalas tugas tersebut, Chai Lin mengakui dia tidak boleh terlalu yakin kerana dia akan dicabar hebat oleh perenang dari Thailand dan juga Singapura.

“Saya tidak mengalami apa-apa kecederaan setakat ini dan sudah bersedia juga dari segi mental, tetapi saya harus terus fokus supaya pingat emas tidak akan terlepas kepada peserta negara lain,” katanya ketika ditemu pemberita di majlis pelancaran produk baru MILO Nitro G di Bangsar, Khamis.

Chai Lin bersama-sama skuad renang negara akan berangkat ke Singapura pada Selasa ini dan akan mengambil bahagian dalam acara 200, 400 dan 800 meter gaya bebas. Pada temasya Sukan SEA Myanmar dua tahun lepas, Chai Lin menyumbangkan satu pingat emas dalam acara 800 meter gaya bebas.

Pada majlis itu Chai Lin sempat berkongsi kisah kejayaannya dan memberi inspirasi untuk terus berusaha mencapai impian selaras dengan tujuan bagi mempromosikan produk baru MILO Nutri G itu.

“Saya berpegang kepada moto sendiri, miliki nilai-nilai dan sikap yang betul baru kita akan berjaya mencapai impian. Kita semua sebenarnya adalah juara. Jadi amat penting untuk memiliki set minda yang tidak mudah mengalah dan sentiasa percaya pada diri sendiri,” katanya.

Evolusi produk MILO Nutri G itu merupakan produk pertama diperingkat global yang mempunyai campuran unik empat bijian penuh seperti beras perang, gandum, oat dan juga barli untuk menjana tenaga yang berterusan.

Pengurus Eksekutif Perniagaan Minuman Nestle, Jasmine Wong berkata MILO Nutri G boleh memenuhi keperluan diet golongan dewasa muda yang sering terlepas waktu makan, menyebabkan mereka tidak ada banyak pilihan selain daripada memilih makanan yang mudah didapati tetapi tidak begitu berkhasiat.

ARTIKEL YANG SAMA