Kian ramai melancong ke Thailand untuk rawatan

Kian ramai melancong ke Thailand untuk rawatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Pengunjung dari Negara Brunei Darussalam bukan sahaja berkunjung ke Thailand untuk melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah serta untuk membeli-belah, tetapi semakin ramai yang menjadi pelancong kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat perubatan terkenal di Thailand.

Salah sebuah pusat kesihatan dan hospital yang menjadi pilihan bagi pengunjung dari Brunei ialah Hospital Antarabangsa Bumrungrad, Bangkok di mana mereka bukan sahaja melakukan pemeriksaan kesihatan tetapi untuk mendapatkan rawatan pakar-pakar perubatan yang bertaraf antarabangsa.

“Sektor pelancongan perubatan merupakan satu segmen pelancongan yang amat penting bagi Thailand dan jumlah pengunjung dari negara-negara ASEAN termasuk Brunei menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun,” jelas Pengurus Pemasaran Autoriti Pelancongan Thailand (TAT) bagi Brunei dan Malaysia, Richard Lim Chew Lee dalam temu bual bersama Media Permata di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Beliau berkata bahawa Thailand mempunyai lebih 1,500 buah hospital yang mempunyai kemudahan yang amat baik. Hospital-hospital atau pusat estetika yang diberikan kebenaran untuk membuat rawatan harus melalui prosedur yang amat ketat sebelum mereka dibenarkan dan diiktiraf untuk melaksanakan rawatan.

Menurut Richard Lim, hospital dan pusat-pusat berkenaan juga akan sentiasa dipantau dan dipastikan mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya perkhidmatan yang diberikan adalah selamat, berkesan serta mematuhi piawaian antarabangsa yang tertinggi.

Richard berkata bahawa jumlah pengunjung dari Brunei yang melakukan pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat perubatan dan hospital di Thailand telah meningkat.
Richard berkata bahawa jumlah pengunjung dari Brunei yang melakukan pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat perubatan dan hospital di Thailand telah meningkat.
Ketua Pegawai Perubatan, Pusat Estetika Dermaster, Dr. Thumrong Siriporn memberikan penerangan mengenai prosedur dan perkhidmatan yang ditawarkan di pusat berkenaan.
Ketua Pegawai Perubatan, Pusat Estetika Dermaster, Dr. Thumrong Siriporn memberikan penerangan mengenai prosedur dan perkhidmatan yang ditawarkan di pusat berkenaan.

Menurutnya lagi, di rantau Asia Tenggara, Thailand merupakan pilihan utama bagi pelancongan perubatan jika dibandingkan dengan negara-negara jirannya di mana jumlah pengunjung tertinggi yang mendapatkan rawatan dalam sektor berkenaan merupakan pengunjung dari negara-negara Timur Tengah.

Beliau menjelaskan bahawa di hospital dan pusat-pusat perubatan yang bertaraf dunia itu, ia dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan yang canggih, kemudahan yang halal serta pakar perubatan yang berpengalaman.

Selain itu, pusat-pusat perubatan dan hospital berkenaan amat peka kepada keperluan pesakit dan pelanggan yang beragama Islam di mana mereka menyediakan bukan sahaja kakitangan yang boleh bertutur dalam Bahasa Arab tetapi juga menyediakan kemudahan yang halal dan pakar perubatan wanita yang berpengalaman untuk merawat pesakit-pesakit wanita.

“Kami memahami akan keperluan pelanggan-pelanggan dari negara-negara Timur Tengah ini dan kami menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik bagi memenuhi keperluan mereka,” ujar beliau.

Selain daripada membuat pemeriksaan kesihatan, sebilangan besar pengunjung juga berkunjung ke pusat estetika di mana mereka boleh mendapatkan pelbagai rawatan dan khidmat nasihat daripada pakar-pakar perubatan yang diiktiraf serta berpengalaman untuk mendapatkan rawatan bagi menyerlahkan lagi kecantikan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA