Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Kibarkan bendera negara, manifestasi cinta kepada raja

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Kurang dari dua minggu lagi tanah air kita akan menyambut Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun 2023.

    Sambutan ini merupakan salah satu sambutan hari-hari kebesaran negara yang diraikan setiap tahun dengan pelbagai acara bagi memeriahkan lagi perayaan berkenaan.

    Berkibarnya bendera besar negara di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara setiap 1 Julai setiap tahun dan juga lazimnya diikuti dengan pengibaran bendera di peringkat daerah merupakan satu manifestasi bagi menzahirkan cinta, tanggungjawab, komitmen serta taat setia yang tidak berbelah bahagi pada kepimpinan dan pemerintahan raja yang kita kasihi.

    Bersempena dengan sambutan itu, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah dikehendaki untuk mengibarkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam di rumah-rumah persendirian, perusahaan, premis-premis perniagaan dan pejabat.

    Kibarlah dengan teratur

    Dalam pada itu, selaku rakyat dan penduduk yang taat setia kepada raja, maka adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab kita untuk mengibarkan bendera dengan megahnya dengan tatacara dan peraturan yang betul sama ada ketika menaikkan dan memasangnya.

    Upacara Menaikkan Bendera Besar yang bermula 1 Julai maka seluruh rakyat dan penduduk di negara ini mestilah mula mengibarkan bendera di rumah kediaman dan premis-premis bangunan masing-masing. – Gambar oleh Infofoto
    Tunaikanlah tanggungjawab kita selaku rakyat dan penduduk untuk mengibarkan bendera negara. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Pelajar Sekolah Ugama Kampung Sungai Teraban berarak sambil mengibarkan bendera kebangsaan. – Gambar oleh Daniel Lim

    Setiap bendera hendaklah diletakkan di tempat yang mulia dan terhormat kerana bendera melambangkan kedaulatan negara dan bangsa serta mengibarkannya mengikut peraturan dan cara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan yang baik, bersih, tidak kotor dan koyak, tidak pudar dan lusuh serta masih utuh keadaannya.

    Menyentuh mengenai cara pemasangan yang betul, bendera hendaklah dikibarkan menegak menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki dengan pendakap khas tiang bendera secara 30-45 darjah bagi di kawasan beranda. Manakala bagi kawasan depan rumah gunakanlah tiang bendera tidak melebihi 20 kaki bagi bendera negara dan 30 kaki bagi bendera-bendera peribadi.

    Sementara bangunan-bangunan kerajaan atau swasta pula hendaklah menaikkan dan mengibarkan bendera negara di atas bangunan dengan menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki. Bagi hadapan bangunan pula ketinggian tiang bendera tidak melebihi 20 kaki. Apa yang penting adalah jangan dipacak tiang bendera terus ke tanah.

    Sediakanlah tempat yang bersesuaian dan hendaklah gunakan tiang bendera seperti yang disarankan serta elakkan memasang di belakang rumah atau bangunan.

    Tanda taat setia penuh kesyukuran

    Dengan adanya pengibaran bendera sememangnya ia mempamerkan tanda kasih serta syukur kita atas sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang bakal menjelang. Dengan memanjatkan rasa syukur kerana raja yang kita kasihi dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah negara, sepertimana doa kita di dalam lirik lagu kebangsaan negara kita.

    Secara umumnya, bendera negara merupakan citra sejarah dan jati diri bangsa bagi sebuah negara selain sebagai lambang kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan kebebasan sesebuah bangsa. Oleh itu, bendera perlu dihormati, dijaga dan dikibarkan dengan megah dan sempurna pada bentuk, ukuran dan warnanya yang bukan hanya dijadikan hiasan atau disimpan.

    Bendera negara walaupun hanya sekeping kain yang dicorakkan dengan warna-warna khusus dengan panji-panji merah di tengahnya namun mempunyai pengertian tersendiri dengan nilai, martabat serta darjat yang sangat tinggi.

    Justeru itu, janganlah mengabaikan bendera negara begitu sahaja, peliharalah dengan sebaik-baiknya. Di samping sentiasa meningkatkan taat setia kepada raja dan tanah air dengan sentiasa memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga negara yang kita cintai akan sentiasa dipayungi dengan sinaran rahmat dan perlindunganNya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...