Kidrolay Park G8 juara Pertandingan Keusahawanan Kedua

Kidrolay Park G8 juara Pertandingan Keusahawanan Kedua

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Kumpulan G8 yang mempertandingkan idea bertajuk Kidrolay Park bagi kategori Sekolah Perniagaan merangkul tempat pertama pada Pertandingan Keusahawanan Kedua, ENTx 2016, yang berlangsung di Politeknik Brunei, Jalan Ong Sum Ping, hari ini.

Tempat pertama bagi Kategori Sekolah ICT dimenangi oleh Kumpulan G64 yang mempertandingkan Hajj App, iaitu aplikasi maklumat haji pertama di Negara Brunei Darussalam yang menyediakan maklumat lengkap mengenai ibadah haji termasuk harga mengerjakan haji, penganjur, maklumat mengerjakan ibadat haji, doa berkaitan haji dan lain-lain.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah serta sijil penyertaan kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

Tempat kedua dalam kategori Sekolah Perniagaan dimenangi oleh Kumpulan G1 yang mengetengahkan idea bertajuk Parkchaser manakala Kumpulan G17 yang mempertandingkan idea bertajuk Duopen menduduki tempat ketiga.

Awang Denis Ho (dua, kanan) menyampaikan hadiah pertama kepada Kumpulan G8.
Awang Denis Ho (dua, kanan) menyampaikan hadiah pertama kepada Kumpulan G8.

Sementara itu, dalam kategori Sekolah ICT, tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan G55 dengan idea bertajuk Augmented Reality For Tourism dan tempat ketiga ialah Kumpulan G33 dengan idea bertajuk Full Amour.

Sepanjang pertandingan itu, para pelajar dan guru dari Institusi Pendidikan Teknik Brunei (IBTE), sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di negara ini telah memberikan komen mereka terhadap idea dan inovasi yang dipamerkan oleh para peserta sementara mereka yang hadir juga berpeluang untuk mengundi konsep terbaik yang mereka minati.

Pertandingan keusahawanan itu membuka peluang kepada pelajar Sekolah Perniagaan dan Sekolah ICT, Politeknik Brunei membuat penilaian terakhir modul keusahawanan di Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA