Kiir enggan meterai perjanjian damai

Kiir enggan meterai perjanjian damai

ADDIS ABABA, 18 Ogos – Presiden Sudan Selatan Salva Kiir enggan memeterai perjanjian damai yang dicadangkan oleh para pemimpin serantau semalam, sambil berkata beliau memerlukan lebih masa untuk berbuat demikian, menurut perantara krisis tersebut.

Sudan Selatan, yang meraih kemerdekaan dari Sudan pada 2011, terjerumus ke dalam kacau-bilai pada Disember 2013 apabila pertikaian politik di antara Kiir dan timbalannya Riek Machar merebak menjadi konflik bersenjata.

Seyoum Mesfin, perantara bagi IGAD, blok Afrika Timur yang menerajui rundingan itu, berkata pihak Kiir memerlukan dua minggu lagi sebelum memeterai perjanjian damai itu yang sudah pun diterima oleh pemberontak Sudan Selatan.

“Dalam tempoh 15 hari lagi, kerajaan akan kembali semula ke Addis Ababa untuk menyelesaikan perjanjian damai,” kata Seyoum. Tiada sesiapa dari pihak kerajaan yang dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan mereka.

Beberapa pusingan rundingan menemui kegagalan untuk menamatkan pertempuran yang sudah meragut lebih 10,000 jiwa serta menyebabkan lebih dua juta terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing.

Pada bulan lepas, IGAD menetapkan 17 Ogos sebagai tempoh untuk memeterai perjanjian damai, yang menggariskan cadangan bagi penamatan pertempuran.

Cadangan itu menetapkan tempoh peralihan 30 bulan Kiir sebagai presiden, dengan jawatan naib presiden pertama disediakan untuk pemberontak, kata IGAD. Pilihan raya akan diadakan dua bulan selepas penutupan tempoh peralihan. Kedua-dua Kiir dan Machar adalah layak untuk bertanding. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA