Kiir meterai perjanjian dengan ‘keraguan’

Kiir meterai perjanjian dengan ‘keraguan’

JUBA, 27 Ogos (Reuters) – Presiden Sudan Selatan akhirnya menandatangani perjanjian damai semalam untuk menamatkan konflik 20 bulan dengan para pemberontak, tetapi beliau memberitahu para pemimpin serantau Afrika di majlis itu bahawa beliau masih mempunyai “keraguan yang amat serius.”

Presiden Salva Kiir, yang memerintah Sudan selatan sejak ia berpisah dari Sudan pada 2011, minggu lepas bagi lebih masa untuk perundingan, mencetuskan ancaman sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jika beliau enggan menandatanganinya dalam tempoh dua minggu.

“Dengan semua keraguan tersebut, kami akan menandatangani dokumen ini,” beliau memberitahu para pemimpin Afrika yang berhimpun di Juba bagi acara berkenaan, dalam ucapannya sebelum beliau memeterai perjanjian.

Pemimpin pemberontak Riek Machar, musuh lama Kiir yang dijangka menjadi Naib Presiden di bawah perjanjian berkenaan, menandatangani dokumen itu minggu lepas di ibu negara Habsyah.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon mengalu-alukan penandatanganan perjanjian damai itu, tetapi jurucakapnya menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa ia perlu dilaksanakan.

“Kini adalah masanya untuk perjanjian ini diterjemahkan kepada penamatan keganasan, kesusahan dan pelanggaran hak asasi manusia yang dahsyat yang disaksikan di sepanjangan konflik ini,” kata kenyataan itu.