Kilanas FC tunjuk semangat

Kilanas FC tunjuk semangat

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 18 Nov – Izzul Wazzien bin Othman muncul wira apabila membantu Kilanas FC mencatat kemenangan keduanya musim ini setelah mengejutkan MS PDB dengan jaringan 2-1 dalam pusingan kedua Liga Super DST 2015.

Separuh masa pertama perlawanan di Kompleks Sukan Tutong (KST) itu berakhir tanpa jaringan dan begitu juga separuh masa kedua sehinggalah pada minit ke-71 apabila Kilanas FC dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Izzul Wazzien.

Kemenangan seakan terlepas daripada genggaman Kilanas FC apabila MS PDB berjaya membolosi gawangnya pada minit ke-83, juga menerusi sepakan penalti yang disudahkan dengan baik oleh Lans Korporal 4828 Jasriman bin Haji Johari untuk mengikat kedudukan pada 1-1.

Izzul Wazzien (kiri, barisan depan) menjaringkan dua gol bagi membantu Kilanas FC menang 2-1 ke atas MS PDB di KST.
Izzul Wazzien (kiri, barisan depan) menjaringkan dua gol bagi membantu Kilanas FC menang 2-1 ke atas MS PDB di KST.

Namun semangat para pemain Kilanas FC kekal teguh untuk meraih kemenangan yang terbukti dengan serangan-serangan bahaya dilancarkannya sehingga berjaya menggegar gawang MS PDB menerusi sentuhan jaringan kedua Izzul Wazzien pada minit ke-87.

Kemenangan itu tetap menggembirakan pegawai dan pemain Kilanas FC walau nasib mereka sudah sah tersingkir daripada Liga Super DST musim depan. Kilanas FC kini mengumpul enam mata dari 17 permainan, hanya berbaki satu permainan saja lagi.

Kilanas FC kekal di tangga terbawah liga, tiga mata di belakang IKLS FC di tangga kesembilan yang baru bermain 15 kali dan enam mata di belakang Lun Bawang di tempat kelapan yang juga sudah bermain 17 kali.