Kilanas pecah badi kekalahan

Kilanas pecah badi kekalahan

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 1 Okt – Kilanas FC akhirnya bukan saja berjaya memecah badi kekalahan sebelas kali berturut-turutnya dari perlawanan pertama Liga Super DST 2015 tetapi juga turut mencatat kemenangan pertamanya untuk mengutip tiga mata penuh yang pertama.

Kemenangan sukar 3-2 ke atas IKLS di Kompleks Sukan Tutong (KST) itu melalui detik cemasnya apabila IKLS berjaya menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan, minit ke-90+2 ketika Kilanas FC bersiap sedia menanti wisel penamat untuk meraikan kemenangan 3-1.

Separuh masa pertama berakhir 1-0 dengan Kilanas FC di depan menerusi jaringan awal Mohd Razi pada minit ke-4, sementara IKLS berjaya menghasilkan gol penyamaan hanya dua minit selepas separuh masa kedua dimulakan.

Mohd Razi melaungkan hasrat besar Kilanas FC untuk menang dan meraih tiga mata apabila meledakkan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-72 untuk membawa pasukannya ke depan semula, kali ini dengan jaringan 2-1.

Kilanas FC gembira berjaya mencatat kemenangan dalam kancah Liga Super DST 2015 setelah menang 3-2 ke atas IKLS.
Kilanas FC gembira berjaya mencatat kemenangan dalam kancah Liga Super DST 2015 setelah menang 3-2 ke atas IKLS.

Riak rasa kemenangan semakin dirasai Kilanas FC apabila Abdul Qayyum Musharraf menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-78, yang bermakna hanya tinggal dua belas minit masa sebenar saja lagi untuk Kilanas FC mempertahankan kedudukan itu.

Kilanas FC berjaya mengekang IKLS dari membolosi gawangnya dalam tempoh dua belas minit berkenaan tetapi kealpaan menyebatkan mereka dibolosi dua minit dalam masa kecederaan menerusi jaringan Atifuddin Momin untuk IKLS mula melihat kemungkinan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

Ternyata IKLS kesuntukan masa mendapatkan gol penyamaan sekali gus menghadiahkan mata pertama buat Kilanas FC pada perlawanan kedua belasnya dalam kancah Liga Super musim ini.

IKLS kekal di tangga kelapan dengan 9 mata dari 12 permainan, sementara Kilanas FC lebih baik dengan 3 mata dari 12 perlawanan meski masih menghuni tangga tercorot, selama ini diisinya tanpa sebarang mata.

ARTIKEL YANG SAMA