Kilang iPhone tiruan diserbu

Kilang iPhone tiruan diserbu

BEIJING, 27 Julai (Reuters) – Polis China menyerbu sebuah kilang yang menghasilkan lebih 41,000 unit telefon bimbit iPhone tiruan bernilai 120 juta yuan, termasuk yang memasuki pasaran Amerika Syarikat serta menahan sembilan orang.

Apple dengan produknya iPhone, antara jenama paling popular di China dan sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa meningkatkan usaha mengikis imej China sebagai pusat pengeluar barangan tiruan.

Antara yang ditahan ialah pasangan suami isteri yang mengetuai kumpulan berkenaan ketika serbuan dilakukan Mei lalu, terhadap sebuah kedai yang kononnya menyediakan perkhidmatan memperbaiki barangan elektronik di pinggir Beijing.

Maklumat serbuan itu hanya disiarkan dalam media sosial Ahad lalu, oleh pihak berkuasa di Beijing.

Sebuah kilang iPhone tiruan di Beijing diserbu pihak polis semalam. – Reuters
Sebuah kilang iPhone tiruan di Beijing diserbu pihak polis semalam. – Reuters

Kumpulan itu diketuai lelaki dikenali sebagai Yu, 43, dan isterinya, Xie, 40. Mereka yang membuka kilang dengan enam barisan pemasangan Januari lalu, mengupah ratusan pekerja bagi membungkus komponen telefon pintar sebagai iPhone untuk dieksport.

Polis yang merampas 1,400 telefon dan sejumlah besar aksesori, melakukan serbuan itu hasil maklumat pihak berkuasa Amerika yang merampas telefon tiruan berkenaan.

Selain Amerika, pihak berkuasa enggan mengulas negara lain yang menjadi sasaran eksport telefon tiruan itu manakala wakil Apple yang dihubungi enggan mengulas lanjut dengan alasan siasatan sedang berjalan.

ARTIKEL YANG SAMA