Kilang keluli milik Taiwan punca kematian ikan

Kilang keluli milik Taiwan punca kematian ikan

HANOI, Vietnam, 1 Julai (AP) – Kerajaan Vietnam berkata bahan buangan toksik daripada sebuah kilang keluli milik Taiwan bertanggungjawab atas kematian ikan besar-besaran yang telah menjejaskan teruk pelancongan dan perikanan di empat wilayah dan memaparkan risiko pertumbuhan pesat dalam pelaburan asing.

Kira-kira 70 tan ikan mati terdampar di sepanjang 200 kilometer tepi pantai tengah Vietnam pada awal April, sekali gus mencetuskan bantahan di seluruh negara selepas syarikat Taiwan itu menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Seorang menteri kerajaan, Mai Tien Dung, memberitahu wartawan semalam bahawa Formosa Ha Tinh Steel Corp, subsidiari Kumpulan Plastik Formosa di Taiwan, mengaku ia telah menyebabkan bencana alam sekitar dan telah menjanjikan wang berjumlah AS$500 juta untuk membersihkan alam sekitar dan membayar pampasan kepada orang yang terjejas, termasuk membantu nelayan mencari pekerjaan baru.

Dung berkata bahan buangan air yang mengandungi racun seperti sianida dan asid karbolik dilepaskan ke laut ketika satu ujian percubaan kilang.

Kompleks keluli Formosa bernilai AS$10.6 bilion, yang termasuk sebuah kilang keluli, sebuah kilang tenaga dan sebuah pelabuhan laut dalam, adalah salah satu pelaburan asing terbesar di Vietnam.

Kerajaan autoritarian negara, berharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan membasmi kemiskinan, telah menyelia kemasukan urus niaga pelaburan asing berjumlah sekurang-kurangnya AS$70 bilion sejak satu dekad lalu.

Namun penduduk biasa Vietnam semakin sedar dan bimbang dengan kesan alam sekitar dan manusia berpunca daripada pembangunan pesat sedemikian.

Kumpulan industri perikanan Vietnam berkata ia berasa positif bahawa kerajaan menyalahkan Formosa, tetapi berkata banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memulihkan keadaan alam sekitar di empat wilayah yang terjejas Ha Tinh, Quang Binh, Quang Tri dan Thua Thien Hue.

“Tidak adanya ikan atau udang untuk ditangkap oleh nelayan, penternakan makanan laut adalah mustahil dan industri pelancongan juga telah terjejas,” kata Nguyen Tu Cuong daripada Persatuan Perikanan Vietnam.

Beliau berkata kebanyakan nelayan tidak boleh beralih kepada pekerjaan lain dengan senang kerana satu-satunya kemahiran mereka tahu adalah menangkap ikan.

ARTIKEL YANG SAMA