Kilang padi LPP dibina di Kota Belud

Kilang padi LPP dibina di Kota Belud

KUALA TERENGGANU, 9 Dis – Sebuah kilang padi di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan dibina di Kota Belud, Sabah, dengan kos RM25 juta bagi melonjakkan lagi pengeluaran padi di negeri itu.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Mohd Salim Taha berkata kilang padi keempat LPP itu dijangka siap pada 2017 atau 2018 dengan menyediakan kemudahan untuk memproses padi pada harga berpatutan berbanding kilang swasta.

“Ketiadaan kilang padi LPP memaksa pengusaha padi di negeri itu memproses padi mereka dengan kilang swasta yang sememangnya membabitkan kos tertentu.

“Justeru, apabila adanya kilang padi yang diselenggarakan oleh LPP itu kelak, ia akan memberi lebih manfaat dan keuntungan kepada petani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Estet Padi Pertubuhan Peladang Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Ketika ini terdapat dua buah kilang padi sedia ada iaitu di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong di Kelantan dan PPK Kubur Panjang di Kedah manakala sebuah lagi kilang padi dalam pembinaan iaitu di PPK Gerai di Besut, Terengganu. – Bernama