Kilang pakaian terbakar ragut 13 jiwa

Kilang pakaian terbakar ragut 13 jiwa

GHAZIABAD, India, 11 Nov – Seramai 13 pekerja terkorban dalam satu kebakaran yang disyaki sebuah kilang pakaian haram di pinggir bandar India awal hari ini ketika mereka sedang tidur di bengkel tersebut.

Kebakaran bermula pada awal pagi di lantai bawah sebuah bangunan kediaman sempit, yang digunakan untuk membuat jaket kulit tiruan, di pinggir timur New Delhi.

Para penduduk berkejar ke kilang itu selepas mereka mendengar jeritan daripada mereka yang terperangkap di dalam dengan api merebak pantas ke lantai pertama di mana kebanyakan para pekerja masih lagi tidur, kata saksi, Shahabudin Ali.

“Kami mula memadamkan kebakaran itu sendiri menggunakan air baldi dan air pada paip berhampiran,” katanya.

“Pegawai jabatan bomba tiba hanya setelah dua jam selepas kebakaran itu.”

Penduduk tempatan berkumpul di luar bangunan kediaman yang digunakan sebagai kilang pakaian, musnah dalam kebakaran di pinggir New Delhi, India pada 11 November. – AP
Penduduk tempatan berkumpul di luar bangunan kediaman yang digunakan sebagai kilang pakaian, musnah dalam kebakaran di pinggir New Delhi, India pada 11 November. – AP

Polis mengesahkan seramai 13 orang maut, menambah bahawa kebakaran itu kelihatannya berpunca sama ada daripada litar pintas atau puntung rokok.

“Kebakaran meletus di sebuah kilang di kawasan kediaman Sahibabad sekitar jam 4:30 pagi. Seramai 13 orang, yang sedang tidur telah meninggal dunia dan dua atau tiga lagi sedang dirawat di hospital,” kata jurucakap polis tempatan, Bhagwat Singh kepada AFP.

Superintenden polis Salman Taj berkata bahawa tiga yang maut itu rentung sementara yang lain mungkin kelemasan terhidu bau asap.

Para penduduk dan pegawai bomba tempatan berkata dua daripada pekerja terselamat setelah melompat dari balkoni bangunan.

“Dua daripada mereka terbangun dan berkata mereka menjerit kepada yang lain untuk bangun semasa berlari ke arah teres namun yang lain tidak bangun, mungkin ia sudah terlewat,” kata pegawai bomba tempatan, Abbas Hussain.

Taj juga mengesahkan dua pemilik bangunan itu telah pun ditahan. – AFP