‘Kilang propaganda’ Kremlin diarah bayar pampasan

‘Kilang propaganda’ Kremlin diarah bayar pampasan

SAINT PETERSBURG, 18 Ogos – Sebuah mahkamah Rusia semalam mengarahkan “kilang propaganda” pro-Putin supaya membayar pampasan simbolik kepada seorang bekas staf yang menyaman mereka dalam bidaan untuk mendedahkan kerja-kerja tentera dalam talian Kremlin.

Agensi Kajian Internet, yang menggaji kakitangan untuk menulis propaganda pro-Kremlin, di saman oleh bekas stafnya Lyudmila Savchuk kerana dakwaan tidak dibayar gaji serta kegagalan mereka untuk menyediakan kontrak yang sepatutnya.

Wartawan bebas itu mendakwa beliau menjalankan tugas secara sulit sebagai tentera Internet prokerajaan yang tugasnya adalah menyediakan artikel tertentu kononnya bagi memantapkan imej Kremlin.

Hakim mengarahkan agensi tersebut membayar Savchuk pampasan simbolik satu ruble selepas kedua-dua belah pihak terdahulunya bersetuju mengenai pampasan bernilai sebulan gaji.

“Saya amat gembira dengan kejayaan ini. Saya mencapai matlamat untuk mendedahkan kewujudan agensi yang berniat jahat ini,” Savchuk, 34, memberitahu AFP.

Dengan menerima gaji sejumlah 40,000 hingga 50,000 ruble (AS$600-AS$750), Savchuk dan kakitangan lain menghentam bahagian komentar laman sesawang dengan pujian dan sanjungan ke atas orang kuat Kremlin, Vladimir Putin. Selepas dua bulan bekerja di situ, Savchuk dipecat selepas beliau menerbitkan artikel menggunakan nama samaran dalam akhbar tempatan yang mengutuk “kilang propaganda” berkenaan.

Bagaimanapun Kremlin mendakwa ia tidak mempunyai kaitan dengan operasi Agensi Kajian Internet berkenaan. – AFP