Kilang tenaga...

Kilang tenaga arang batu terakhir Beijing ditutup

BEIJING, 19 Mac – Kilang tenaga terakhir yang menggunakan arang batu di Beijing telah dihentikan operasi, memandangkan elektrik bandar kini dikuasakan oleh gas asli, lapor agensi berita negeri tatkala asap menyelubungi ibu negara China pada hujung minggu ini.

Penutupan Kilang Tenaga Termal Huangneng Beijing diadakan selepas sesi perundangan tahunan China, di mana Perdana Menteri Li Keqiang berjanji akan “menjadikan langit kami biru sekali lagi” dalam ucapan beliau kepada negara.

Menurut Xinhua, Beijing telah menjadi bandar pertama negara yang mempunyai kilang tenaga yang menggunakan gas asli, satu matlamat yang ditetapkan pada tahun 2013 dalam pelan tindakan udara bersih lima tahun bandar.

Kilang Huangneng adalah kilang keempat yang ditutup dan diganti oleh pusat tenaga termal gas di antara tahun 2013 dan 2017, mengurangkan hampir 10 juta tan pengeluaran arang batu setahun.

Xinhua melaporkan tindakan tersebut pada malam sebelum pihak berkuasa perbandaran mengeluarkan notis biru untuk pencemaran udara hari ini.

Kilang tenaga arang batu terakhir di Beijing telah ditutup memandangkan bandar itu mula menggunakan kuasa tenaga yang dijana oleh gas asli. – AFP
Kilang tenaga arang batu terakhir di Beijing telah ditutup memandangkan bandar itu mula menggunakan kuasa tenaga yang dijana oleh gas asli. – AFP

Asbut telah menyelubunyi ibu negara selama beberapa hari dan dijangka berterusan pada minggu ini.

Sejak berakhirnya Kongres Rakyat Negara pada Rabu lalu, mesyuarat tahunan parlimen China, paras PM2.5 kekal di antara 200 dan 330 mikrogram setiap meter padu, jauh melebihi pendedahan yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebanyak 25 mikrogram setiap meter padu dalam tempoh 24 jam.

Pencemaran sering hilang ketika acara besar seperti sesi perundangan dan Olimpik Musim Panas 2008 apabila pihak berkuasa mengarahkan kilang supaya menghentikan kegiatan dan memaksa kereta dikeluarkan daripada jalan raya.

Ketika perhimpunan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2014 di Beijing, fenomena udara bersih ini digelar “APEC biru.” Manakala dalam tempoh NPC selama satu setengah minggu, paras PM2.5 mencecah di antara 50 dan 80, meskipun melebihi 200 mikrogram setiap meter padu sehari sebelum pembukaan sesi parlimen pada 5 Mac. – AFP