Kim arah ujian nuklear lagi

Kim arah ujian nuklear lagi

SEOUL, 11 Mac (Reuters) – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menyaksi pelancaran ujian peluru berpandu balistik dan mengarahkan negaranya supaya mempertingkat keupayaan serangan nuklearnya dengan menjalankan lebih banyak ujian, lapor agensi berita KCNA hari ini.

Laporan tidak berkata bila ujian akan diadakan tetapi ia mungkin merujuk kepada pelancaran dua peluru berpandu jarak dekat oleh Korea Utara semalam yang terbang 500km dan terhempas ke laut.

“Komrad Kim Jong Un berkata kerja-kerja mesti diperkukuhkan untuk mempertingkat keupayaan serangan nuklear dan mengeluarkan arahan kepada pihak penggempur untuk meneruskan ujian letupan nuklear demi menilai kuasa kepala peluru nuklear yang baru dihasilkan dan ujian untuk mempertingkat keupayaan serangan nuklear,” kata KCNA.

Pemimpin Korea Utara dipetik dalam media negeri pada awal minggu ini sebagai berkata negaranya mempunyai kepala peluru nuklear kecil untuk dipasang pada peluru berpandu balistik. Ketegangan telah meningkat mendadak di semenanjung Korea selepas Utara menjalankan ujian nuklear keempatnya pada Januari dan menembak roket jarak jauh pada bulan lalu sekaligus mendorong Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi sekatan baru.

Gambar yang dikeluarkan dari Agensi Pusat Berita Korea Utara (KCNA) menunjukkan Kim Jong Un menyaksikan pelancaran roket balistik Tentera Strategik Tentera Rakyat Korea (KPA) di lokasi yang tidak diketahui, di Pyongyang. – Reuters
Gambar yang dikeluarkan dari Agensi Pusat Berita Korea Utara (KCNA) menunjukkan Kim Jong Un menyaksikan pelancaran roket balistik Tentera Strategik Tentera Rakyat Korea (KPA) di lokasi yang tidak diketahui, di Pyongyang. – Reuters

Menjalankan lebih banyak ujian nuklear merupakan satu pencabulan sekatan PBB yang juga mengharam ujian peluru berpandu balistik, walaupun Pyongyang telah menolak mereka. Korea Utara mempunyai simpanan stok peluru berpandu jarak dekat yang besar dan sedang menghasilkan peluru berpandu balistik jarak jauh (ICBM).

Jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan Jeong Joon-hee berkata: “Ia adalah tingkah laku yang tidak bertimbang rasa oleh seseorang yang tidak mempunyai idea bagaimana dunia beroperasi,” apabila ditanya mengenai komen Kim.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon menggesa Pyongyang supaya “menghentikan tindakan yang mengugat keselamatan negara,” menambah Ban masih “bimbang” dengan keadaan tersebut. Di China, penyokong ekonomi dan diplomatik paling penting Korea Utara, akhbar terkenal negara, People’s Daily, meminta semua pihak supaya “bersabar dan berani,” menunjukkan semangat muhibah dan meneruskan proses rundingan.

Korea Selatan berkata ia tidak percaya Korea Utara mempunyai kepala peluru nuklear kecil atau peluru berpandu balistik antara benua.

ARTIKEL YANG SAMA