Kim Jong-Un puji kejayaan sempurna ujian nuklear

SEOUL, 10 Sept – Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un memuji ‘kejayaan sempurna’ ujian nuklear terbesar negara dan menggesa pemajuan senjata-senjata seterusnya, menurut media kerajaan hari ini, di tengah usaha AS bagi sekatan baru yang keras.

Pyongyang telah mengadakan jamuan, konsert dan persembahan dalam paparan gilang-gemilang pada hujung minggu untuk meraikan ujian nuklear pada 3 September lalu, yang menurut Korea Utara adalah bom hidrogen yang boleh dipasang pada roket.

Pelancaran itu yang dijalankan beberapa minggu selepas negara itu melancarkan dua peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang nampaknya mampu sampai ke tanah besar AS, mengundang kecaman sejagat dan gesaan bagi sekatan ditingkatkan ke atas negara tersisih itu.

Namun pemimpin Korea Utara itu tidak mengendahkan kemarahan antarabangsa dan memuji ‘kejayaan sempurna dalam ujian Bom-H’ pada jamuan makan malam untuk mengucapkan tahniah kepada para ahli sains dan juruteknik yang terlibat dalam program nuklear, lapor agensi rasmi Korean Central News Agency (KCNA) hari ini.

Dengan menggelarkan ujian terbaru itu ‘peristiwa hebat sejarah negara yang bertuah’, beliau menyeru bagi ‘usaha yang digandakan lagi’ untuk menyelesaikan misi negara untuk sepenuhnya menjadi kuasa nuklear yang diiktiraf.

Laporan dua muka surat yang disiarkan oleh surat khabar rasmi Korea Utara, Rodong Simmun, hari ini memperlihatkan gambar-gambar Kim dan isterinya, Ri Sol-Ju menghadiri konsert khas yang diadakan bagi para ahli sains dan juruteknik nuklear.

Siri-siri ujian dalam beberapa bulan kebelakangan yang melanggar sekatan PBB yang sedia ada, telah mencetuskan ketegangan yang meningkat berhubung program senjata Korea Utara. – AFP