Kim puji ‘kejayaan’ ujian peluru berpandu kapal selam

Kim puji ‘kejayaan’ ujian peluru berpandu kapal selam

SEOUL, 24 April – Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un mengalu-alukan ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan daripada kapal selam (SLBM) sebagai “kejayaan pembuka mata,” kata media negeri hari ini, mengisytiharkan Pyongyang mempunyai keupayaan menyerang Seoul dan AS pada bila-bila masa.

Pelancaran peluru berpandu semalam diadakan di tengah-tengah kebimbangan yang meningkat bahawa Pyongyang bersedia untuk menjalankan ujian nuklear kelima.

Namun ia disusuli beberapa jam kemudian oleh tawaran Korea Utara untuk mengenakan moratorium satu pihak ke atas ujian nuklear jika Amerika Syarikat menggantung latihan tentera tahunan dengan Korea Selatan.

AS dan Britain mengecam ujian SLBM sebagai satu pencabulan resolusi Majlis Keselamatan PBB dan menggesa Utara supaya mengelak daripada melancarkan tindakan lanjut yang mungkin menggugat kestabilan rantau.

Kementerian pertahanan Korea Selatan berkata peluru berpandu itu, ditembak dari sebuah kapal selam di Laut Jepun, terbang kira-kira 30 kilometer. Agensi berita Utara KCNA berkata ujian, diawasi secara peribadi oleh KM, mengesahkan keupayaan sistem pelancaran bawah air di negara itu.

Seorang lelaki menyaksikan rangkaian berita di Seoul menunjukkan rakaman pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada 24 April. – AFP
Seorang lelaki menyaksikan rangkaian berita di Seoul menunjukkan rakaman pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada 24 April. – AFP

Ia juga memetik pemimpin muda itu sebagai berkata Pyongyang kini berupaya “memukul kepala kuasa boneka Korea Selatan dan imperialis AS pada bila-bila masa yang disukainya.”

Gambar pegun yang disiarkan di televisyen menunjukkan Kim di geladak kapal selam sebelum menyaksikan ujian menerusi binokular dari pantai dan bertemu dengan krew dan ahli sains selepas itu.

“Kejayaan pembuka mata membentuk satu lagi hadiah berharga yang diberikan oleh ahli sains pertahanan dan juruteknik kepada pemimpin hebat dan parti,” KCNA memetik Kim sebagai berkata.

Gambar menunjukkan peluru berpandu, dengan “Bintang Utara” terpampang, meluncur keluar daripada air dan terbang ke udara, meninggalkan kepulan asap di atas permukaan laut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA