KindyKare International dilancarkan

KindyKare International dilancarkan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – KindyKare International, iaitu sebuah institusi yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang melaksanakan pelbagai program perkembangan dan pendidikan kanak-kanak yang berumur enam bulan hingga empat tahun, melancarkan pembukaannya di Kampung Sungai Tilong di sini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif KindyKare International, Datin Dr. Hajah Asmah binti Haji Morni dalam ucapannya berkata, KindyKare International telah mula beroperasi pada 11 Mei 2015, bertujuan memberi alternatif kepada ibu bapa yang bekerja, sebuah tempat bagi penjagaan anak-anak mereka yang selamat, agar mereka dapat menumpukan perhatian mereka terhadap tugas dan tanggungjawab mereka ketika bekerja.

“Selaras dengan visi dan misi KindyKare International, pelaksanaan programnya adalah berasaskan piawaian antarabangsa sama ada dari segi pedagoginya yang menggunakan pendekatan ‘learning through play’, mahupun dari segi kurikulumnya yang mengamalkan aktiviti yang berpusatkan kanak-kanak, menyeronokkan dan aktif.

“Manakala dari segi nisbah penjaga dengan kanak-kanak pula tinggi untuk memastikan perhatian dan layanan yang cukup terhadap kanak-kanak yang dijaga,” Datin Dr. Hajah Asmah.

Datin Paduka Dr. Hajah Norlila ketika melancarkan perasmian KindyKare International.
Datin Paduka Dr. Hajah Norlila ketika melancarkan perasmian KindyKare International.

Beliau turut menekankan mengenai pendekatan yang sangat bersesuaian dengan kanak-kanak kerana ia mampu memperkembangkan kemahiran kanak-kanak secara menyeluruh dan seimbang dari segi sosial, emosi, fizikal, kognitif dan rohani manakala aktiviti harian yang dilaksanakan, adalah pelbagai dan bertema yang diselitkan kemahiran awal literasi dan numerasi yang ada kaitan dengan kehidupan kanak-kanak seharian.

Datin Paduka Dr. Hajah Norlila dalam ucapannya pula menekankan bahawa usaha-usaha penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak sangat dialu-alukan memandangkan perlunya Negara Brunei Darussalam menyediakan sebuah institusi penjagaan kanak-kanak yang bukan sahaja memberi perkhidmatan menjaga kanak-kanak atau ‘baby sitting services’, akan tetapi juga bagi menyediakan pelbagai program pendidikan dan perkembangan untuk meningkatkan kemahiran awal kanak-kanak dalam pelbagai bidang dari seawal lagi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian ‘Karegiver Role Model Award 2016’ yang telah diterima oleh Dayang Hamizah binti Haji Tahir.

ARTIKEL YANG SAMA