King Power ambil alih 60% AAV

King Power ambil alih 60% AAV

BANGKOK, 14 Jun (Bernama) – King Power Group, yang dimiliki oleh antara lelaki terkaya di Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, akan membelanjakan 12 bilion Baht lagi (RM1=8.3 Baht) dalam tawaran mandatori untuk mengambil alih baki kepentingan sebanyak 60 peratus dalam Air Asia Aviation (AAV).

King Power, pengendali bebas cukai tunggal di Thailand semalam mengumumkan ia membeli 39 peratus kepentingan dalam AAV, bernilai 7.945 bilion Baht daripada Tassapon Bijleveld dan keluarganya.AAV merupakan pengendali syarikat penerbangan tambang rendah, Thai AirAsia (TAA) dengan Tassapon sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya.

“TAA dan King Power akan melengkapi antara satu sama lain, menyediakan perkhidmatan dan produk terkini me-ngatasi yang ditawarkan oleh peserta lain dalam sektor itu.

“Ini akan memacu pertumbuhan TAA dan memastikannya kekal pada barisan hadapan dalam perniagaan syarikat penerbangan tambang rendah,” kata Vichai kepada pemberita di sini hari ini.

Pemilik syarikat King Power Group, Vichai Srivaddhanaprabha (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia Tassapon Biljeveld (tiga kiri) pada majlis pengumuman pembelian saham Air Asia Avition (AAV) oleh King Power semalam. – Bernama
Pemilik syarikat King Power Group, Vichai Srivaddhanaprabha (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia Tassapon Biljeveld (tiga kiri) pada majlis pengumuman pembelian saham Air Asia Avition (AAV) oleh King Power semalam. – Bernama

Vichai, anaknya Aiyawatt dan Tassapon menemui media di ibu pejabat King Power di Rangnam, Bangkok.Hartawan bebas cukai itu juga percaya dengan latar belakang perniagaannya dan pengalaman King Power dalam industri pelancongan, kerjasama itu akan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada perniagaan syarikat penerbangan itu.

King Power turut memiliki juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City Football Club.Syarikat tersebut akan membeli baki kepentingan sebanyak 60 peratus dalam AAV, disenaraikan di Bursa Saham Thailand (SET), pada 4.20 Baht sesaham dan melantik Siam Commercial Bank sebagai penasihat kewangan bagi tawaran tender.

Sementara itu, Tassapon yang akan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TAA berkata keputusannya untuk menjual kepentingannya dan keluarganya dalam AAV, merupakan hasil daripada undang-undang dan peraturan yang mengawal perniagaan syarikat penerbangan di Thailand, iaitu sekurang-kurangnya 51 peratus daripada saham dalam pengen-dali udara perlu dipegang oleh seorang warga Thailand.

ARTIKEL YANG SAMA