Kingston Beverage meriahkan larian amal PWM

Kingston Beverage meriahkan larian amal PWM

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Dalam memeriahkan lagi Larian Amal Warna-warni Muhibah anjuran Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) yang akan diadakan pada 29 November 2015, Syarikat Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd telah menyumbangkan minuman Revive dan air mineral.

Mengulas mengenai larian amal berkenaan, semasa majlis penyerahan sumbangan berkenaan, hari ini, Presiden PWM, James Lee, berkata ia bukan sahaja menunjukkan komitmen PWM untuk membantu mereka yang memerlukan malahan dapat merapatkan lagi hubungan di antara rakyat Negara Brunei Darussalam dan Malaysia melalui acara kebajikan.

Menurutnya, acara itu mendapat sokongan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam dan hasil kutipan amal akan diserahkan kepada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) bagi membantu persatuan itu dalam kerja-kerja amal yang dilaksanakan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Beliau menambah, larian amal itu, yang akan diadakan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, dihasratkan untuk mempromosikan semangat muhibah dan mengeratkan lagi kerjasama, persefahaman dan harmoni dalam kalangan ahli PWM serta masyarakat lain di Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pek bagi larian berkenaan boleh dikutip bermula 26 hingga 28 November ini di Lobi Tingkat Satu, Zon 4, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah, Berakas bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang, kecuali Jumaat yang akan dibuka dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 2:30 petang hingga 5 petang.

Wakil Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kepada James Lee.
Wakil Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kepada James Lee.

Setiap pek larian akan mengandungi baju-T larian, nombor bib, kaca mata, pingat eksklusif larian dan sijil penyertaan, yang mana pingat menamatkan perlumbaan itu akan diberikan apabila mereka melalui garisan penamat.

Larian itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori terbuka, kategori 5 kilometer lelaki dan perempuan bagi yang berusia 12 tahun ke atas, kategori veteran 5 kilometer lelaki dan wanita bagi yang berusia 45 tahun ke atas dan kategori larian 3 kilometer yang dibukakan kepada semua peringkat umur dengan penyertaan terhad kepada 2,000 orang peserta sahaja.

James Lee berkata, borang penyertaan dan syarat serta maklumat lanjut mengenai larian amal berkenaan boleh didapati dari laman sesawang www.pwm.com.bn. Yuran bagi menyertai larian amal itu adalah $35 bagi larian 5 kilometer dan $30 bagi larian 3 kilometer dengan pembayaran boleh dibuat kepada akaun Bank BIBD, Persatuan Warganegara Malaysia, bernombor 00-015-01-0036386 atau membayar terus bersama-sama borang pendaftaran ke Pejabat Sekretariat, Traders Inn Hotel, Business Centre, Blok D, Lot 11620, Jalan Gadong, Bandar Seri Begawan.

Satu keistimewaan larian ini ialah ia mempunyai zon warna-warni di mana para peserta boleh melalui zon-zon warna khusus di mana serbuk warna akan dilontar ke atas mereka iaitu warna kuning, biru dan merah jambu.

Serbuk warna yang digunakan adalah selamat dan 100 peratus diperbuat daripada bahan asli menggunakan tepung jagung berkualiti dan gred tinggi serta mudah untuk dibersihkan.