Kingston hulur tajaan

Kingston hulur tajaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Sebagai usaha berterusan untuk menyokong perkembangan sukan dan acara-acara sukan di Brunei, Kingston Beverage & Creamery menghulurkan tajaan minuman bagi Kejohanan Bola Keranjang Piala Veteran Concepts 2015 yang akan berlangsung bermula dari 26 Jun hingga 16 Julai.

Menerusi tajaan itu, Kingston akan menghulurkan tajaan minuman bagi kesemua 22 perlawanan yang akan berlangsung sepanjang kejohanan hampir tiga minggu berkenaan, di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam (BBA), Batu Bersurat, Gadong.

Hadir untuk menyampaikan tajaan bagi kejohanan itu ialah Pengurus Besar Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Vincent Hon yang menyerahkannya kepada penaja utama kejohanan, Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao.

Turut hadir ialah Pengerusi BBA, Lim Ting Guan, ahli-ahli jawatankuasa BBA serta eksekutif kanan dari Concepts Computer dan Kingston.

Kingston- Vincent Hon (empat dari kanan) menyampaikan tajaan minuman Red Bull kepada Vincent Pao (tiga dari kiri).
Kingston- Vincent Hon (empat dari kanan) menyampaikan tajaan minuman Red Bull kepada Vincent Pao (tiga dari kiri).

Menurut BBA, penganjuran kejohanan Piala Veteran Concepts 2015 merupakan inisiatif tahunan persatuan itu untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai sukan bola keranjang di kalangan orang ramai.

Ia merupakan kejohanan tahunan yang dibukakan kepada pasukan-pasukan yang dianggotai oleh pemain-pemain veteran iaitu berusia 40 tahun ke atas.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan kejohanan itu bermula pukul 7:30 malam dan masuk adalah percuma.

ARTIKEL YANG SAMA