Kirk dahului The Players

Kirk dahului The Players

PONTE VEDRA BEACH, Florida, 10 Mei (AFP) – Chris Kirk beraksi mantap untuk mendahului satu pukulan selepas tiga pusingan pada Jelajah PGA Players Championship.

Pemain Amerika Syarikat itu mencatatkan 4 di bawah par 68 untuk keseluruhan 10 di bawah par 206 selepas rakan senegara, Kevin Na mencatatkan double bogey pada lubang ke-18 untuk ketinggalan dua pukulan.

Kirk berada di depan trio pemain Amerika – Kevin Kisner yang mencatatkan 67, manakala Ben Martin dan Bill Haas mencatatkan 68 untuk keseluruhan 207.

Justin Thomas pula mencatatkan rekod kejohanan dengan 10 birdie untuk catatan 65 bagi mendahului kelompok pemain pada keseluruhan 208.

Kelompok itu termasuk Na dan Jerry Kelly yang berkongsi pendahuluan semalam dan kedua-dua mereka mencatatkan 72.

Chris Kirk membuat pukulan pada Jelajah PGA Players Championship semalam. - AFP
Chris Kirk membuat pukulan pada Jelajah PGA Players Championship semalam. – AFP

Turut mencatatkan 8 di bawah par ialah pemain Sepanyol, Sergio Garcia (67), pemain Kanada, David Hearn (70) dan pemain Amerika, Scott Brown (69).

Dengan enam lagi pemain mencatatkan 209, 16 pemain hanya dipisahkan dengan tiga pukulan menjelang pusingan akhir esok.

Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy berada empat pukulan di belakang dalam kelompok besar yang mencatatkan 210, selepas meraih 3 di bawah par 69.

Bekas pemain nombor satu dunia, Tiger Woods, bagaimanapun bukan saingan dalam pusingan akhir kelak selepas makin ketinggalan apabila mencatatkan 75.