Kisah kenangan persahabatan 70 tahun

Kisah kenangan persahabatan 70 tahun

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Sempena memperingati Ulang Tahun ke-70 Pendaratan Angkatan Australia di Borneo, Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam akan menghoskan lawatan Menteri Hal Ehwal Veteran Australia, Senator Michael Ronaldson ke Brunei Darussalam dan Labuan pada 8 hingga 11 Jun depan.

Lawatan itu juga akan disertai oleh delegasi veteran yang terlibat dalam kempen Borneo, yang mana bagi kebanyakan mereka, ini merupakan kali pertama mereka kembali ke pulau ini sejak Perang Dunia ke-2.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh suruhanjaya berkenaan, rombongan terlebih dahulu mengadakan lawatan ke Labuan pada 9 Jun, sebelum memulakan lawatan ke negara ini.

Dalam lawatan berkenaan, menteri Australia berkenaan akan merasmikan pameran multi-media di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, dan juga menghadiri Upacara Peringatan di Memorial Brunei-Australia, Pantai Muara, kedua-duanya pada 10 Jun.

Bertajuk Stories through Memories – 70 years of Friendship, pameran berkenaan akan mengetengahkan gambar-gambar bersejarah mengenai kempen Borneo, yang diperolehi daripada arkib-arkib Memorial Perang Australia, dan cerita langsung daripada rakyat Brunei yang hidup semasa Perang Dunia ke-2 yang telah dirakamkan oleh ahli akademik Australia, Dr Janet Marles, dan sepasukan sejarawan dan pelajar di Universiti Brunei Darussalam yang diketuai oleh Dr Maslin bin Haji Jukim/Jukin.

Salah satu gambar bersejarah yang akan diketengahkan semasa pameran galeri itu nanti.
Salah satu gambar bersejarah yang akan diketengahkan semasa pameran galeri itu nanti.

Selepas perasmian pameran berkenaan, Suruhanjaya Tinggi Australia turut merancang satu siri acara khas di ruang pameran berkenaan, seperti pembentangan panel oleh sejarawan tentera Australia, Dr Garth Pratten dari Australian National University, dan pasukan ahli akademik dari UBD, Dr Marles, Dr Maslin dan Dr Frank Dhont.

Pameran berkenaan kemudian akan dibukakan kepada kunjungan orang ramai pada 12 hingga 30 Jun.

Menceritakan sejarah pendaratan di Borneo, Suruhanjaya Tinggi Ausralia dalam kenyataannya berkata, dalam bulan-bulan terakhir Perang Dunia ke-2, angkatan Australia telah melancarkan satu siri serangan ke atas Borneo yang dijajah pasukan Jepun, sebagai sebahagian daripada kempen yang dirancang untuk membebaskan pulau ini.

Diberi nama kod Oboe, operasi bermula dengan pendaratan di Tarakan pada 1 Mei 1945, diikuti pada bulan Jun dengan serangan-serangan ke atas pasukan Jepun di sekitar Teluk Brunei dan, pada bulan Julai, serangan ke atas Balikpapan.

Ia merupakan kempen-kempen perang terakhir Australia menentang Jepun dan berakhir dengan kemenangan, sekali gus membebaskan pulau ini daripada penjajahan Jepun.

Bagaimanapun, ia telah mengorbankan kira-kira 600 anggota tentera, pelaut dan askar udara Australia.

Menurut kenyataan itu lagi, pendaratan Oboe 6 di Pulau Labuan dan sekitar Teluk Brunei bermula pada 10 Jun, dengan didahului pembedilan laut dan udara. Pendaratan dilakukan di Pulau Labuan, dan bagi pulau Borneo di Brunei.

Labuan dijadikan sebagai pangkalan sementara pasukan Australia membebaskan sebahagian besar Borneo Utara British. Kira-kira 115 rakyat Australia terbunuh dalam operasi berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA