Kisah kesengsaraan keluarga mendapat perhatian

Kisah kesengsaraan keluarga mendapat perhatian

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 24 Dis – Rintihan sebuah keluarga yang menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp semalam, telah mendapat perhatian apabila mereka menerima bantuan berupa makanan asasi, baju dan pakaian serta barang-barang keperluan dapur daripada sebilangan masyarakat di Daerah Belait, hari ini.

Awang Musa bin Zainal, 42, yang bekerja sebagai ‘rigger’ berkontrak di sebuah syarikat swasta tinggal bersama enam orang ahli keluarga beliau di Unit B6, Berek Mumong bangunan bernombor 773, Simpang 36-41, Jalan Dermawangsa.

Cerita beliau pernah dipaparkan di surat khabar mengenai rumah sewanya di Jalan Mumong, Kuala Balai tidak selamat didiami atas sebab keselamatan kerana rumah tersebut roboh dan terpaksa berpindah ke tempat mereka masa ini.

Menurutnya, beliau sudah awal mendaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Belait sejak 17 September tahun lepas dan sehingga kini masih menunggu jawapan.

Dalam mesej yang tersebar melalui WhatsApp itu, Awang Musa memohon pertolongan orang ramai yang berkesudian untuk menghulurkan rezeki duit atau makanan kerana merasa kasihan melihat anak-anak mereka kelaparan.

Awang Musa dan keluarga bersama salah seorang penderma.
Awang Musa dan keluarga bersama salah seorang penderma.

“Alhamdulillah selepas mesej tersebut mendapat perhatian orang ramai, lebih 10 orang datang ke rumah untuk menyumbangkan barang berupa keperluan harian dan hari ini semakin ramai yang datang, untuk menghulurkan apa jua jenis bantuan,” ujarnya.

Beliau mempunyai lima orang anak dengan seorang daripadanya berusia 13 tahun dan kini bersekolah dalam Tahun 7 di salah sebuah sekolah kerajaan, manakala tiga orang anaknya yang lain juga sudah bersekolah di salah sebuah sekolah rendah di Kuala Belait dan pada tahun hadapan anaknya yang bongsu akan memasuki alam persekolahan dan perkara ini akan memerlukan beliau berbelanja keperluan barang-barang sekolah mereka.

Rintihan keluarga tersebut juga telah sampai kepada perhatian Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin juga selaku Ketua Kampung Mumong yang telah mengunjungi keluarga berkenaan untuk mendengar cerita mereka dengan lebih lanjut bagi memberi bantuan setelah menerima pesanan WhatsApp tersebut.

Yang Berhormat memuji keprihatinan masyarakat di daerah ini yang sangat-sangat mengambil berat akan situasi yang keluarga itu alami pada masa ini dan mengalu-alukan apa jua bantuan yang dapat diberikan kepada keluarga Awang Musa.

ARTIKEL YANG SAMA