Kisah Norja dapat perhatian

Kisah Norja dapat perhatian

Oleh Siti Nur Wasimah S & Syahmi Hassan.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Berita mengenai rumah sebuah keluarga di Ban 5, Kampung Kilanas, yang runtuh sebahagiannya, baru-baru ini, telah mendapat perhatian ramai apabila menjadi viral menerusi media sosial WhatsApp.

Wartawan Media Permata, baru-baru ini, telah terpanggil untuk menemui pemilik rumah berkenaan, Dayang Norja binti Zaman, 48, dan keluarganya untuk mendengarkan keluh-kesah mereka.

Dalam pertemuan itu, Dayang Norja memberitahu, setelah kejadian berkenaan berlaku, beliau bersama suaminya berusaha untuk memperbaiki rumah mereka namun kerana masalah kewangan yang tidak mencukupi, rumah mereka terbiar begitu sahaja.

Kejadian ini mendatangkan kebimbangan kepada Dayang Norja kerana beliau mempunyai tujuh orang anak dan anak sulung beliau mempunyai masalah cacat penglihatan sejak umurnya dua tahun lagi manakala itu, anak bongsunya baru berumur empat tahun.

Menurutnya lagi, beliau yang tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada pendapatan kerja suaminya itu telah pun meminta bantuan kepada ketua kampung berkenaan dan telah pun mendapatkan bantuan kewangan segera bagi meringankan beban mereka.

Keadaan rumah Dayang Norja.
Keadaan rumah Dayang Norja.

Beliau juga telah membuat permohonan ke Jabatan Daerah Brunei dan Muara mengenai bantuan memperbaiki rumah pada tahun 2014, namun sehingga hari ini belum menerima apa-apa tindak balas.

Rumah kayu peninggalan arwah bapa Dayang Norja itu dibina pada tahun 1979 dan kini dalam keadaan yang sangat usang.

Beliau melahirkan perasaan khuatir setiap kali berlakunya hujan lebat atau ribut petir kerana beliau tahu rumahnya mungkin runtuh bila-bila masa sahaja.

Suami beliau kini bekerja di salah sebuah syarikat swasta dan sering kali berusaha untuk memperbaiki rumah mereka tetapi memandangkan kos yang begitu tinggi dan keluarganya bergantung kepada pendapatan suaminya bagi keperluan seharian, kerja-kerja memperbaiki rumah mereka sering tertangguh.

Dayang Norja semasa ditemui media.
Dayang Norja semasa ditemui media.
Sebahagian rumah Dayang Norja dan keluarganya yang runtuh baru-baru ini.
Sebahagian rumah Dayang Norja dan keluarganya yang runtuh baru-baru ini.

Dayang Norja juga memberitahu Media Permata bahawa Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) akan memindahkan beliau dan keluarganya ke rumah sementara yang terletak di jalan Ban 2 sehinggalah rumah mereka selesai diperbaiki.

Namun, proses pemindahan ini belum lagi ditentukan dan ditetapkan tarikhnya dan beliau berharap agar proses pemindahan ini dipercepatkan sebaik mungkin.

Pihak media kemudian turut menghubungi Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim untuk meminta penjelasan mengenai situsi Dayang Norja.

Awang Mislee memberitahu bahawa pihak jabatan daerah sedar akan situasi yang dihadapi oleh Dayang Norja dan permohonannya sedang dalam proses.

Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan, pembinaan rumah baru Dayang Norja ini masih dalam proses penyelarasan.

Penempatan sementara bagi Dayang Norja dan keluarganya adalah sebahagian daripada inisiatif MUIB untuk meringankan beban keluarga tersebut sebelum pembinaan rumah baru mereka bermula.

ARTIKEL YANG SAMA