Kisah seram bilik G.44

Kisah seram bilik G.44

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 6 Sept – Belum menontonnya pun sudah menyeramkan apabila membaca sinopsis filem pendek Class G.44, arahan Nippy Juffri (nama sebenar Mohd Hanifi bin Haji Juffri) yang menjanjikan pelbagai adegan seram yang boleh membuat penonton seram sejuk.

Dengan latar belakang koridor gelap sebuah bangunan, watak utama yang merupakan seorang pelajar bernama Feeqah, dalam perjalanan balik sebaik selesai mengulang kaji berseorangan pada waktu malam di dalam kelas G.44 apabila dia merasakan seolah-olah sedang diperhatikan dan setiap langkah beliau ada sahaja yang tidak kena ketika melalui lorong tersebut.

Feeqah menyedari bahawa dia terperangkap di dalam bangunan tersebut sebelum lembaga yang menakutkan muncul dan membangunkannya daripada tidur di dalam kelas G.44, yang tanpa disedarinya merupakan salah satu kelas paling ‘keras’ di kawasan itu, dan menganggapnya sebagai mimpi, sebelum keluar ke lorong gelap dengan perasaan deja vu.

Awang Nippy Juffri semasa ditemui Media Permata berkata inspirasi untuk membuat filem pendek tersebut bermula beberapa tahun lalu dengan keinginan untuk membuat rakaman di ruang koridor yang gelap dan juga sebagai cara untuk mengongsi pengalamannya sendiri yang menurutnya pernah diganggu oleh makhluk halus dan juga mendengar cerita-cerita seram daripada orang ramai.

“Saya cuba mengilhamkan sebuah cerita fiksyen yang berlaku di lokasi set yang dipilih dan membuat penggambaran di sana, memandangkan lokasi itu sendiri boleh membuat anda berasa tidak selesa dan suasana di sekitar bahagian yang membuat filem itu berasa hidup.

Krew-krew membuat penggambaran di salah satu lokasi penggambaran.
Krew-krew membuat penggambaran di salah satu lokasi penggambaran.
Awang Nippy Juffri (kanan) meneliti salah satu rakaman yang diambil semasa penggambaran tersebut.
Awang Nippy Juffri (kanan) meneliti salah satu rakaman yang diambil semasa penggambaran tersebut.

“Saya lebih suka untuk memilih lokasi yang sangat sahih untuk adegan tertentu tanpa perlu menukar keseluruhan set,” jelasnya tentang pemilihan lokasi set.

Apa yang menarik dengan penggambaran filem ini adalah, Awang Nippy Juffri menggunakan kamera Canon 6D yang menurutnya mudah untuk digunakan dan prestasinya adalah sedikit lebih baik dalam cahaya rendah.

“Walau bagaimanapun, tidak kira apa jenis kamera yang anda gunakan, anda perlu mempunyai pencahayaan yang baik untuk menetapkan suasana yang anda mahu, kebanyakan kita menggunakan lampu mudah alih seperti LED.

“Bagi tetapan, kami membuat penggambaran tersebut dalam imej Flat Full Hd 1080p 25fps agar lebih mudah bagi ‘colourist’ kami untuk membetulkan warna dan rakaman gambar yang diambil untuk mencapai penampilan sinematik,” tambah beliau lagi.

Awang Nippy Juffri ketika penggambaran filem tersebut.
Awang Nippy Juffri ketika penggambaran filem tersebut.

pg09_150907_e

Sementara itu, poster filem pendek berkenaan juga sepadan dengan jalan ceritanya yang menyeramkan dengan menunjukkan pelakon utama di lorong dengan bayangan lembaga yang mengikutinya dari belakang.

Awang Nippy Juffri berkata poster berkenaan telah direka oleh rakan beliau, malahan krew serta pelakon bagi filem itu juga membabitkan kawan-kawannya sendiri.

“Sebagai seorang pembikin filem, saya cuba untuk berkongsi dengan penonton apa yang saya telah gambarkan setiap kali saya berjalan di lorong itu. Bagi saya, ia boleh berlaku, kerana saya telah mengalaminya sendiri tetapi dengan keadaan yang berbeza, sudah tentu,” katanya lagi.

Filem Pendek Class G.44 arahan Nippy Juffri ini boleh ditonton di laman Facebook Local Bruneian Short Films.

Poster rasmi filem pendek tersebut.
Poster rasmi filem pendek tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA